HIBURAN
"Dunia Rasa Kecil, Sunyi" - Anding Dedah Pernah Dibuli, Seru Mangsa Bangkit & Berani Bersuara
Penyanyi dan pelakon, Anding, berkongsi pengalaman peribadinya dibuli ketika zaman persekolahan, kira-kira 25 tahun lalu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anding mendedahkan waktu yang sepatutnya menjadi kenangan indah itu berakhir dengan rasa trauma sehingga membuatkannya tidak pernah berkongsi tentang zaman sekolahnya.
“25 tahun dahulu, tepatnya pada tahun 2000, aku pernah dibuli. Zaman persekolahan yang sepatutnya menjadi detik indah berakhir dengan ayat ‘I cannot wait to finish school’.
"Sebab itulah aku tidak pernah bercerita tentang zaman sekolah kerana aku membencinya,” tulis Anding.

Menurutnya, segala bentuk hinaan dan ejekan pernah dihadapinya, membuatkan dunia terasa kecil dan sunyi. Namun, Anding memilih untuk tidak berputus asa.
“Aku sabar, diam, pendam… tapi itu bukan bermaksud aku lemah. Itu kekuatan, kekuatan yang membentuk diri aku sekarang,” katanya.
Anding turut menitipkan pesanan kepada mangsa buli agar tidak berputus asa dan sedar bahawa dunia jauh lebih luas daripada lingkungan sekolah.
“Buat mangsa-mangsa buli, jangan risau… dunia ini lebih besar daripada sekolah atau tempat kamu belajar sekarang.
"25 tahun dahulu mungkin aku tiada ruang untuk mendapatkan pertolongan dan aku salah seorang yang bertuah kerana masih hidup hingga hari ini,” katanya.
Anding juga percaya situasi kini lebih baik berbanding dahulu kerana suara mangsa buli semakin didengari.
“Sekarang, suara kita sudah mula didengari. Maksudnya, kita sudah boleh berani kerana ramai yang mahu membantu kita. Jadi, bersuaralah! We are here with you!” tegasnya.
Must-Watch Video