Pelakon Ezzaty Abdullah mendedahkan bahawa dia bersikap paranoid untuk menghantar anaknya dijaga oleh pengasuh luar.

Justeru, Ezzaty, 29, berkata dia membuat keputusan untuk menjaga puteri sulungnya, Harum Dahlia sejak kelahirannya dua tahun lalu.

"Saya memang tidak ada mengambil khidmat pembantu rumah. Bahkan, saya juga tidak menghantarnya ke pengasuh kerana saya ini jenis ibu bapa yang paranoid.

"Risau kalau hantar ke tempat pengasuh, anak kena jangkitan pelbagai penyakit berdasarkan pengalaman anak abang saya," katanya kepada Gempak.

Justeru, menurut pelakon Suri Katriana itu, selama ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang menuntut komitmen masa yang banyak.

"Kalau saya kerja, Azwan akan menjaga anak. Bagaimanapun, apabila kami serentak ada kerja pada satu masa tu, saya akan minta tolong kakak ipar untuk menjaga Harum.

"Disebabkan nak jaga anaklah, ada beberapa tawaran watak utama terpaksa saya tolak sebelum ini sebab saya nak ada banyak masa dengan anak. Biarlah saya banyak habiskan masa dengan anak terlebih dulu. Cuma sekarang ini, saya sudah mula kembali aktif," katanya.

Ezzaty mendirikan rumah tangga dengan Azwan Kombos pada 16 Julai 2016.

Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata, Harum Dahlia yang kini berusia dua tahun.