Laman Utama
Fazley Yaakob Dedah Kerap Terima Tawaran Sertai Politik! - "100 Kali Fikir Pun Jawapan Saya Tetap ..."
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengakui kerap menerima tawaran untuk menyertai dunia politik.
Namun, Fazley tetap dengan pendiriannya untuk tidak terlibat biarpun beliau merupakan anak kepada bekas Setiausaha Kerja UMNO dan Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad.
"Sebenarnya, saya sudah banyak kali diajak menyertai parti tertentu mahupun bertanding sebagai calon atau mempromosikan parti politik.
Advertisement
"Sudah banyak yang tawarkan untuk masuk politik dan arwah bapa saya sendiri pernah menjadi orang kuat di parti politik satu masa dahulu.
"Saya sendiri pernah bekerja dengan arwah, menjadi pembantu peribadinya dan menyaksikan sendiri bagaimana politik bergerak di Malaysia.
"Apabila ditawarkan, selepas 100 kali saya fikir pun, jawapan saya masih sama, saya tak mahu sertai politik buat masa ini," katanya kepada Gempak.
Fazley yang ditemui sempena sesi khas bersama media di restoran Suka Sucre Bistro, Taman Sri Hartamas bagaimanapun terbuka untuk menerima undangan badan politik bagi tujuan memberi ceramah berbentuk motivasi.
"Saya ada juga memenuhi undangan atau jamuan yang dilayangkan oleh parti politik. Asalkan program yang diadakan berbentuk program motivasi, saya pasti akan hadir, tak kisah jemputan itu datang dari mana-mana parti pun," ujarnya.
Berkongsi perkembangan tahun 2023, bintang Gegar Vaganza musim kelapan itu bakal menjalinkan kerjasama dengan 13 buah jenama tempatan dan antarabangsa.
"Saya bersyukur kerana rezeki tak putus-putus. Perjalanan saya sebagai seorang ‘singing masterchef’ akan diteruskan pada 2023 dengan menjalin kerjasama dengan 13 jenama antarabangsa dan tempatan sebagai duta dan wajah produk.
"Saya juga akan melangkah dalam bidang Pendidikan. Saya bakal memulakan tugas sebagai profesor adjung dan pensyarah berkontrak dalam jurusan kulinari di beberapa universiti," kongsinya.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video