Beberapa hari lalu, gadis berusia 16 tahun berasal dari Sarawak dilaporkan telah membunuh diri selepas melakukan undian di Instagram.

Gadis itu dikatakan lompat dari tingkat atas sebuah rumah kedai selepas menerima 69 peratus undian yang memilih kematian berbanding hidup.

Rentetan daripada kejadian itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan individu yang menghasut gadis terbabit membunuh diri menerusi undian di Instagram boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Menurut SKMM, pesalah boleh dihukum bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun.

“SKMM sedia memberi bantuan daripada segi teknikal sekiranya diperlukan pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi.

Jelas SKMM pengguna di media sosial perlu bertanggungjawab semasa menggunakan internet.

“Jika seseorang dilihat cenderung ke arah membunuh diri, segera maklumkan kepada polis,” katanya.