Susulan rungutan orang ramai terhadap gangguan dihadapi ketika membuat tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela bagi pusingan kedua yang dibuka tengah hari Rabu,
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memohon maaf di atas kesulitan dihadapi orang ramai.

CITF berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mencari punca gangguan teknikal yang menyebabkan laman web CITF tergendala.

Menerusi sebuah kenyataan, CITF menegaskan tindakan akan diambil kepada pihak yang terbabit demi kepentingan awam dan negara.

"Sewaktu tempahan dibuka tengah hari tadi, gangguan teknikal telah berlaku yang menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang CITF," kata CITF dalam kenyataan tersebut.

CITF turut mengucapkan terima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan.

"Suka kami mengulangi bahawa mereka yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin di bawah PICK terutamanya apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan mendatang," katanya.

Semalam beberapa masalah teknikal seperti gagal memilih negeri, pusat pemberian vaksin (PPV) dan tarikh temu janji berlaku sehingga menyebabkan ramai yang kecewa dengan laman sesawang CITF.

Mengulas lanjut, CITF berkata sebanyak 1,261,000 dos ditawarkan dengan 275,208 dos ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif ini mula dibuka dari 23 Mei sehingga 26 Mei.

Sementara itu, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin AstraZeneca sebelum ini dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini.

Untuk rekod, sebanyak 959,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah dipenuhi.