Laman Utama
Gantikan Vaksin & Antibiotik Pada Ayam, Herba Untuk Ternakan Raih Tempat Pertama Minggu Ke-5 INNOVATHON
Produk Herba Untuk Ternakan diumumkan sebagai pemenang pada minggu kelima program INNOVATHON yang disiarkan Sabtu lalu.
Menerusi pembentangan, Herba Untuk Ternakan dipersembahkan sebagai satu produk herba yang dihasilkan daripada kaedah tradisional dan bahan organik. Ia membantu meningkatkan pembesaran ayam tanpa perlu mengambil suntikan vaksin dan antibiotik.
Ladang ayam juga mudah dijaga dari sudut kebersihan kerana najis ayam yang terhasil tidak berbau busuk dan tidak mengalami masalah kehadiran lalat. Cara menggunakan herba ini ialah dengan menyembur pada dedak dan turut dimasukkan dalam minuman haiwan ternakan.
Individu di sebalik Herba Untuk Ternakan ialah Ustaz Azmi Nor, 55, seorang pengusaha ayam berasal dari Kota Bahru, Kelantan.
INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.
Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.
Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.
Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta ringgit.
Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.
Must-Watch Video