Laman Utama
Ringan, Dapat Tampung Berat Hingga 150KG, Floating Stretcher Ungguli Tempat Pertama Minggu Ke-4 INNOVATHON
Produk Floating Stretcher diumumkan sebagai pemenang pada minggu keempat program INNOVATHON yang disiarkan Sabtu lalu.
Menerusi pembentangan, Floating Stretcher dipersembahkan sebagai satu produk usungan yang dapat memudahkan proses bantuan penyelamat oleh pihak berkuasa. Selain mudah dicuci dan selamat untuk kegunaan bagi manga yang mengalami pendarahan, Floating Stretcher juga bersifat sangat ringan dan boleh terapung atas permukaan air. Sungguhpun ringan, ia dapat menampung berat pesakit sehingga 150 kilogram.
Individu di sebalik Floating Stretcher ialah Kumpulan Captain Innovator dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Slim River, Perak yang diketuai oleh Shahrizal Hussin. Ditubuhkan pada November 2022 dengan empat ahli, Kumpulan Captain Innovator akan menghasilkan sekurang-kurangnya dua produk dalam satu tahun.
INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti TV inovasi pertama di Malaysia, inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.
Setiap minggu, lapan inovator akan berentap dari minggu pertama hingga minggu ketujuh. Justeru, setiap inovator terbaik mingguan akan terus melayakkan diri ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara INNOVATHON yang pertama.
Idea inovatif dan kreatif para inovator diadili oleh lima orang panel juri profesional termasuklah Menteri Ekonomi; YB Rafizi Ramli, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Chang Lih Kang, selebriti dan usahawan terkenal; Fazura, serta dua lagi pemain industri sebagai juri profesional jemputan. Selain itu, 100 orang juri awam daripada pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai pengguna akan menggalas tanggungjawab sebagai juri awam.
Pentas akhir INNOVATHON bakal menyaksikan para finalis sekali lagi membentangkan produk inovasi mereka dengan penambahbaikan yang lebih menarik bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta ringgit.
Program realiti TV yang dihoskan oleh pengacara ternama Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani ini bersiaran mulai 15 Julai 2023, jam 9 malam di saluran Astro RIA dan Astro GO.
Must-Watch Video