Seorang lelaki rakyat Britain berusia 73 tahun maut selepas satu penerbangan Singapore Airlines dari London ke Singapura berdepan dengan keadaan bergelora yang teruk atau dipanggil gelombang udara terang (CAT) pada Selasa (21 Mei).

BERITA TRENDING: Seorang Maut Selepas Penerbangan Singapore Airlines Dari London Dilanda Gelora Udara

Khidmat penerbangan itu juga terpaksa dilencongkan ke Bangkok dengan puluhan penumpang memerlukan bantuan perubatan.

Apakah itu gelora udara terang dan berapa lama juruterbang dan penumpang mempunyai masa untuk bertindak?

Penumpang SQ321 Andrew Davies memberitahu Sky News bahawa mereka tidak mempunyai banyak masa untuk bertindak selepas lampu isyarat untuk memakai tali pinggang keledar dinyalakan dan anak-anak kapal tidak sempat ke tempat duduk masing-masing.

Dalam dunia penerbangan, gelora udara kuat itu disifatkan sebagai gelora udara terang memandangkan ia muncul daripada keadaan yang tidak dijangkakan.

Melakukan penerbangan pada altitud tinggi dan di atas permukaan air atau gunung boleh menyebabkan gelora udara 'ortografik'.

Namun, syarikat-syarikat penerbangan dan laporan kaji cuaca lazimnya dapat meramalkan bahagian langit yang mengalami arus udara kuat lalu memberi amaran kepada juruterbang.

Gelora udara terang pula berlaku secara tiba-tiba.

APA YANG MENYEBABKAN GELORA UDARA TERANG BERLAKU?

Gelora udara terang yang ekstrem disebabkan oleh sama ada angin panas yang naik dalam arus haba atau disebabkan oleh pertembungan arus bertentangan.

Pesawat yang melakukan penerbangan pada altitud tinggi juga mungkin mengalami arus udara yang kuat pada ketinggian lebih daripada 10,000 meter.

Perubahan dalam suhu udara bercampur dengan arus yang bergerak pantas boleh mencetuskan gelora udara terang "ekstrem" yang berlaku secara tiba-tiba.

Awan yang naik dan ribut petir juga boleh menghasilkan arus udara yang tidak dapat dijangkakan bagi pesawat yang sedang lalu, dan para juruterbang seringkali memilih untuk melakukan penerbangan di luar kawasan yang mempunyai ramalan ribut.

APAKAH AMARAN YANG JURUTERBANG TERIMA JIKA BERLAKU GELORA UDARA TERANG?

Gelora udara yang "tidak dapat dilihat" itu dikenal pasti sebagai salah satu cabaran terbesar bagi syarikat-syarikat penerbangan.

Sepanjang lima tahun lalu, Pentadbiran Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) cuba meramalkan laluan dan kawasan di mana gelora udara seumpamanya mungkin berlaku menggunakan data penerbangan.

"Gelora udara merupakan punca utama berlaku kecederaan terhadap anak kapal dan para penumpang dalam kejadian tidak berlaku kematian," menurut kenyataan oleh Program Kesedaran Gelora Udara IATA.


Namun lebih membimbangkan, fenomena itu diramalkan semakin kerap berlaku dan sukar diramalkan dengan iklim yang semakin panas dan kurang dapat diramalkan.

Awal tahun ini, IATA memberi amaran bahawa perubahan iklim semakin menyukarkan tugas juruterbang dan syarikat penerbangan dan ia sedang melabur untuk menjadikan lebih banyak data cuaca boleh diakses oleh rakan-rakan kongsi syarikat penerbangan.

"Menguruskan gelora udara dijangka terus mencabar, sedang perubahan iklim terus menjejas corak cuaca. Ia mempunyai kesan terhadap keselamatan dan kecekapan penerbangan."

Selain daripada keselesaan penumpang, ramalan lebih baik dapat memastikan syarikat-syarikat penerbangan boleh mengurangkan gangguan terhadap jadual penerbangan.

Pada masa ini, lebih 2,000 pesawat harian daripada 23 syarikat penerbangan memberi data untuk membantu meramalkan corak gelora udara, memetakan 380 juta pengamatan tahunan dalam setahun.

Kecederaan serius disebabkan oleh gelora udara jarang berlaku dalam pesawat komersil. Kematian juga lagi jarang berlaku.

Namun, ia satu kebiasaan untuk syarikat penerbangan menasihatkan para penumpang supaya memakai tali pinggang keledar semasa berada di tempat duduk.

"Ia soal mati dan hidup," kata Sara Nelson, presiden bagi pertubuhan anak kapal antarabangsa CWA.

"Sedang iklim kita berubah, kejadian gelora udara terang dan ekstrim semakin kerap berlaku. Sentiasa patuh arahan anak kapal dan pakai tali pinggang keledar apabila di tempat duduk."

Satu laporan mengenai kecederaan berkaitan gelora udara oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 80 peratus berlaku terhadap anak kapal.

Ini sebahagian besar kerana mereka kemungkinan tinggi tidak berada di tempat duduk kerana perlu menjalankan tugas.

Sumber: Berita Mediacorp Sg