Laman Utama

#GempakKeliwon: Bunyi Radio Dari Rumah Tak Berpenghuni, Nampak Makhluk Sama Dengan Orang Mati! Hantu Raya Ke Apa?

gempak
Gempak Spot
03/06/2021
14:40 MYT
Sponsor Banner
#GempakKeliwon: Bunyi Radio Dari Rumah Tak Berpenghuni, Nampak Makhluk Sama Dengan Orang Mati! Hantu Raya Ke Apa?
Lama aku menyimpan cerita ini, hari ini barulah rasa nak berkongsi di sini.
Aku sebenarnya bukanlah berminat sangat nak cerita-cerita tentang hantu atau perkara mistik, tapi bila berkait dengan pengalaman sendiri, takut juga bila diingat kembali!
Suatu ketika dahulu ketika aku masih di kampung, aku selalu pergi ke rumah kawan-kawan dengan hanya menaiki basikal, ya lah, jarak pun tak jauh, tambahan masih bersekolah rendah ketika itu.
Pada suatu petang, aku ke rumah kawan aku yang mesra disapa Mamat, aku ajak Mamat pusing-pusing naik basikal dengan aku tapi petang itu dia agak malas dan hanya mengajak aku lepak di rumahnya.
Aku pun tak menolak, kami pun lepak main permainan kad (aku pun tak ingat jenis apa), kemudian menikmati hidangan minum petang yang dihidang ibunya Mak Cik Leha.
Mak Cik Leha memang mesra dan suka melayan budak-budak, rajin pulak tu! Teringat aku rasa goreng pisang rangup dan air teh O panas yang selalu dia hidangkan kepada aku waktu kecil-kecil dulu!
Okay lah, semuanya masih normal setakat itu, tapi, selepas aku menikmati minum petang, aku ajak Mamat turut ke halaman rumahnya sekadar untuk menghilangkan bosan selepas terperap dalam rumah.
Tiba-tiba, aku dengar bunyi radio dari rumah jirannya, nenek Kamsiah yang aku tahu baru saja meninggal dunia ketika itu.
"Mamat, dah ada orang baru ke pindah rumah arwah nenek Kamsiah? Tu aku dengar bunyi radio, kuat juga orang tu pasang!" tanya aku kepada Mamat.
Mamat diam, mukanya agak pucat tapi cuba berdalih, dia buat-buat cakap pasal basikal dia lah, pasal cikgu lah, apa lah...
Aku syak sesuatu yang aneh berlaku, aku pun buat-buat ajak Mamat ni pergi rumah arwah kononnya nak berkenalan dengan orang yang baru pindah itu. Tapi, seperti yang aku jangka, Mamat menolak keras dan nafasnya seakan tercungap-cungap (Ya lah, budak-budak kan masa tu).
Lalu Mamat bawa aku jauh sikit dari kawasan perbualan itu dan beritahu aku sesuatu, dia kata, sejak arwah meninggal, selalu ada bunyi radio, dan kadang-kadang ada kelibat menyerupai arwah, jiran-jiran terdekat syak Hantu Raya!
Alamak! Aku pun dah mula cuak waktu itu! Menyesal pula aku tegur bunyi radio yang aku dengar itu, aku cuba bersikap tenang, tak lama selepas itu aku minta diri, balik rumah pula lah, hari pun makin nak senja.
Dalam perjalanan balik, ini perkara yang aku paling tak boleh lupa sampai sekarang, ketika itu matahari semakin tenggelam, warna kekuningan macam itu, aku lalu tak jauh dari kawasan perkuburan kampung itu.
Apa nak cakap! Sekali aku nampak sebijik arwah nenek Kamsiah berjalan kaki tepi jalan! Cara pakai kain batik dia pun sangat sama! Aku dah meremang bulu roma, kalau aku nak patah balik ke rumah Mamat, nanti mak aku pelik pula kenapa aku balik lambat, bimbang juga dia risau.
Aku pun kuatkan semangat teruskan mengayuh basikal dan lalu saja di kawasan yang aku nampak makhluk itu, aku baca saja Al-Fatihah dan beberapa surah yang aku reti ketika itu.
Nasib baiklah makhluk itu menghilangkan diri dan aku terus balik rumah. Aku ceritakan kepada mak aku, kemudian disuruh mandi dan join keluarga solat sama-sama. Mujurlah tiada apa yang serius berlaku kepada aku selepas itu.
Tak lama lepas kejadian, cerita tentang arwah nenek Kamsiah pernah 'membela' semakin jadi bualan ramai, tapi mak aku nasihatkan untuk diamkan saja apa yang aku alami, tak mahu burukkan orang yang sudah tiada kerana kita sendiri tak tahu sejauh mana kebenarannya.
Itulah serba sedikit pengalaman aku yang pernah alami pengalaman mistik, dengar bunyi radio dari rumah yang tidak berpenghuni dan nampak makhluk yang menyerupai orang yang baru mati.
Apapun, hanya Allah yang maha berkuasa atas setiap sesuatu, kepada Allah sahajalah yang kita harus taat dan takuti pembalasan jika mengingkari suruhanNya.
Kredit Foto: Storyblocks
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live