Laman Utama

#GempakTop2021: Kim Kardashian Fail Cerai, Paris Hilton Pula Berkahwin! Ini Lima Himpunan Cerita Menarik Di Hollywood Tahun 2021

gempak
Asraf Aided
20/12/2021
15:14 MYT
Sponsor Banner
#GempakTop2021: Kim Kardashian Fail Cerai, Paris Hilton Pula Berkahwin! Ini Lima Himpunan Cerita Menarik Di Hollywood Tahun 2021
Meskipun masih dilanda pandemik COVID-19, tahun 2021 tidak pudar dari gosip, kontroversi atau cerita menarik yang berlaku dalam dunia hiburan antarabangsa.
Malah, tahun ini juga menyaksikan lebih banyak penganjuran acara fizikal diadakan berbanding tahun lalu, tambahan lagi selepas orang ramai menerima vaksin lengkap.
#GempakTop2021 mengimbas lima perkara menarik yang berlaku di Hollywood dalam tahun ini.
1. Kim Kardashian & Kanye West Bercerai
Hal ini tentunya mengejutkan peminat seluruh dunia. Mungkin perkhabaran tentang goyahnya rumah tangga Kim dan bekas suaminya Kanye West sebelum itu tidak cukup menguatkan sangkaan mereka akan bercerai.
Selepas tujuh tahun bersama dan sering kelihatan serasi umpama tiada badai melanda, Kim memfailkan cerai secara rasmi terhadap Kanye West pada Februari tahun ini.
Kim dan Kanye mendirikan rumah tangga pada 2014 dan memiliki empat cahaya mata iaitu North, 8, Saint, 5, Chicago, 3, dan Psalm, 2.
BACA: Selepas 7 Tahun Bersama, Kim K Failkan Tuntutan Cerai Terhadap Kanye West
2. Gwen Stefani & Blake Shelton Berkahwin!
Setelah hampir enam tahun menyulam cinta, penyanyi popular Gwen Stefani akhirnya berkahwin dengan juri program The Voice, Blake Shelton pada 3 Julai lalu.
Pasangan itu mengadakan majlis perkahwinan mereka di rumah ladang (ranch) milik Blake di Oklahoma, Amerika Syarikat.
Antara yang turut dilaporkan media antarabangsa, Blake membina sebuah gereja untuk melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hatinya itu.
Majlis perkahwinan mereka dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat yang memakai serba putih sementara dekorasi majlis juga banyak dihiasi menggunakan warna sama.
BACA: Lambang Cinta, Blake Shelton Kahwini Gwen Stefani Dalam Gereja Khas
3. MET Gala Kembali!
Acara fesyen gilang gemilang, Met Gala kembali diadakan pada 13 September 2021.
Tahun lalu, Metropolitan Museum of Art (MET Museum) mengumumkan acara berprestij itu tidak akan diadakan pada 2020 ekoran krisis kesihatan global (pandemik COVID-19).
Berbeza dengan tahun ini apabila meletakkan syarat pengambilan vaksin, barisan selebriti, sosialit dan nama-nama besar melaram sakan dalam persalinan mewah mengikut tema 'In America: A Lexicon of Fashion' yang meraikan fesyen Amerika.
Antara yang menarik perhatian adalah penampilan Kim Kardashian menyarung pakaian dan topeng muka serba hitam oleh pereka Balenciaga Demna Gvasalia, Shawn Mendes tayang otot di belahan tengah jaket kulit hitam Michael Kors dan banyak lagi!
BACA: #ListenToAided: Lima Fesyen Penyanyi Menarik Perhatian Di Met Gala 2021
4. (#FreeBritney) Akhirnya Britney Spears Bebas!
Penyanyi terkenal Hollywood, Britney Spears dan jutaan peminatnya tentu menarik nafas lega apabila dia bebas daripada kawalan bapanya sebagai penjaga (conservator).
Berita gembira itu dilaporakan media seluruh dunia pada hujung September lalu.
Ketika sesi pendengaran di mahkamah, Hakim Mahkamah Los Angeles Brenda Penny meluluskan petisyen dibuat oleh peguam Britney, Mathew S. Rosengart untuk menggantung bapa penyanyi itu, James P. Spears, 69, sebagai penjaga harta anaknya berjumlah sekitar RM250 juta.
Kebebasan itu dinantikan bukan sahaja oleh Britney, malah rakan-rakan industri dan jutaan peminat seluruh dunia yang tidak henti memperjuangkan nasib Britney, juga dengan menggunakan tanda pagar (#FreeBritney) di media sosial.
BACA: Bebas Daripada Pengawasan Bapa, Britney Spears Boleh Jaga Harta RM250 Juta Sendiri!
5. Perkahwinan Paris Hilton
Selain Gwen Stefani, selebriti popular Paris Hilton juga melangsungkan perkahwinan dalam tahun ini bersama ahli perniagaan, Carter Reum pada 11 November.
Mungkin para peminat Paris Hilton boleh menjangka, suasana majlis perkahwinannya diadakan serba mewah di Bel Air Estate, California milik mendiang datuknya, Barron Hilton.
Antara tetamu yang hadir adalah selebriti 'A-List' seperti Kim Kardashian, Paula Abdul, Nicole Richie dan ramai lagi.
Menariknya tentang majlis tersebut, Paris bertukar persalinan sebanyak tiga kali didahului gaun rekaan Oscar de la Renta labuh penuh perincian bunga-bungaan, diikuti gaun pereka Galia Lahav, persalinan kedua yang lebih singkat dari Oscar de la Renta dan diakhiri dengan gaun Pamella Roland dengan perincian sequin, sulaman mutiara serta cape putih.
BACA: "Sopan Tapi Vass!" - Gaun Kahwin Paris Hilton Jadi Sorotan Netizen, Betukar 3 Busana Ketika Resepsi
Demikianlah lima himpunan cerita menarik dari Hollywood secara ringkas yang berlaku tahun ini.
Tentunya banyak lagi kejadian, acara mahupun gosip yang berlaku seperti yang digembar-gembur media antarabangsa.
Semoga dunia hiburan antarabangsa dipenuhi dengan lebih warna dan berita baik pada tahun hadapan!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live