Pendakwah bebas terkenal, Ustazah As’ma Harun menyatakan rasa risau dengan filem Pulau yang dijadualkan penayangannya pada Mac depan.

Ini kerana, ustazah Asma’ menjelaskan filem tersebut seolah-olah mempromosikan adegan kurang sesuai untuk dipertontonkan kepada umum.

“Sungguh, saya runsing memikirkan tentang trailer filem Pulau yang secara terang-terangan mempromosikan babak ‘soft porn’ dan mempamerkan nilai budaya barat dan langsung tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia.

“Ia jelas menunjukkan filem ini berselindung di sebalik genre seram tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan.

“Perlu diketahui menonton atau melakonkan watak yang berunsur lucah adalah haram dan ia tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan tercela, sama ada yang ringan atau berat,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi miliknya.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ juga menegur dan menasihatkan para penggiat seni supaya menjaga sensitiviti budaya dan agama dalam masyarakat.

“Kebebasan berkarya perlu mengekalkan ketinggian budaya tempatan dan agama, walaupun pihak penerbit adalah dari kalangan bukan Islam.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana filem yang mempromosikan babak yang melampau, lucah dan berlebihan.

“Ramai penggiat filem negara telah berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan babak tidak senonoh.

“Menjadi penerbit atau pengarah filem dan mempunyai sumber yang banyak bukanlah tiket untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

“Ingatlah, masyarakat melihat dan memerhati perkembangan industri perfileman Malaysia. Alhamdulillah kita dapat lihat sekarang ramai mempunyai kesedaran lalu menolak filem atau drama yang membawa mesej negatif.

“Buat para penggiat seni, saya nasihatkan jika kalian ingin berjaya dalam industri ini, hidangkan karya yang menjaga sensitiviti budaya dan agama serta sarat dengan mesej yang baik kepada masyarakat.

“Sungguh, kalian bukan sahaja berjaya membawa perubahan ke dalam jiwa orang ramai bahkan turut didoakan dan mendapat pahala yang mengalir sampai bila-bila.

“SubhanAllah, besarnya ganjaran orang yang mempunyai kesedaran tentang perkara ini,” tegasnya.

Baca kenyataan dan penjelasan penuh ustazah Asma’ di bawah.

Selain ustazah Asma’, pendakwah bebas iaitu PU Syed juga memohon pihak berwajib untuk menyekat tayangan filem Pulau.

BACA: [VIDEO] PU Syed Gesa Pihak Berwajib Sekat Tayangan Filem Pulau; “Ada Adegan Yang Tidak Elok…”

Terdahulu, Pulau mendapat perhatian netizen selepas trailer filem itu ditayangkan baru-baru ini kerana mengandungi beberapa aksi panas.

Malah filem itu juga turut dikecam dan netizen berpendapat filem seperti itu tidak sepatutnya ditayangkan kerana ia mengundang rasa kurang senang masyarakat.


Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.