Laman Utama

#GTheUntoldStory: Tuah Alam Dibanjiri Tawaran, Remy Ishak Tidak Tolak Kerana Rezeki Pernah Ditutup Allah

gempak
Maliah Surip
14/12/2023
08:06 MYT
Sponsor Banner
#GTheUntoldStory: Tuah Alam Dibanjiri Tawaran, Remy Ishak Tidak Tolak Kerana Rezeki Pernah Ditutup Allah
Sebagai manusia biasa, Remy Ishak punya banyak rencana yang sudah diinginkan sejak muda.
Pemenang Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar itu malah punya mimpi sederhana sama layaknya lelaki-lelaki yang hidup di muka bumi ini.
Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak mengaku pernah berencana menikah pada usia muda. Beliau juga sudah menyediakan nama buat zuriat yang akan menyambung keturunannya kelak.
Namun takdir berkata lain. Rencana manusia tidak akan pernah mencapai besarnya rahsia Allah SWT terhadap setiap makhluknya. Begitu juga Remy. Mimpi menikah di usia muda hanya terlaksana pada 21 Ogos 2021, saat usia menuju 40 tahun.
Dan memasuki usia 40 tahun, Remy bersama isteri, Ezza Yusof dikurniakan cahaya mata — satu lagi mimpi yang terwujud dan disambut penuh syukur.
Bersama anak lelaki sulung yang diberi nama Tuah Alam, Remy dan Ezza secara eksklusif merakamkan potret keluarga mereka dengan #G The Untold Story lalu berbagi cerita bagaimana kosa kata Tuah membawa makna begitu besar dalam fasa kehidupannya kini.
#G The Untold Story: Bagaimana rasanya kini ada tanggungjawab baru, bergelar seorang bapa?
Remy Ishak: Masih baru, masih banyak belajar tapi seronok. Mungkin jika mahu bercakap tentang progres, setelah setahun baru boleh bercakap lebih banyak tentang apa yang akan atau sudah berubah.
Buat masa ini saya dan Ezza banyak belajar dan mendengar tentang penjagaan anak. Kami buat research dan dalam masa yang sama ambil pandangan daripada ‘orang lama’ serta rakan-rakan yang sudah berkahwin.
Dan satu perkara yang saya perasan perasaan saya terhadap anak terutama selepas berjauhan selama sebulan atas urusan kerja, rasa itu lain sangat.
Macam orang baru bercinta berjauhan dengan kekasih. Rasa kepada mak sudah tumpah kepada dia.
#G: Buat Ezza pula ini merupakan temubual eksklusif anda bersama wartawan hiburan selepas berkahwin dengan Remy Ishak. Bagaimana rasanya bercinta dengan seorang karyawan seni yang hebat dan popular sehingga akhirnya kini menikmati hidup sebagai ibu bapa kepada Tuah Alam?
Ezza Yusof: Saya kenal Remy Ishak sebagai seorang pelakon sudah lama. Kemudian jalin hubungan, saya sudah terbiasa dengan peminat dia juga. Memang kami sejak bercinta tidak tunjukkan ia kepada orang. Kami menjalani hubungan cinta dengan agak tradisional dan tertutup.
Sepanjang bercinta Remy seorang yang akan duduk berbicara dengan saya jika terjadi satu perkara. Dia akan kata ‘yang penting saya dan awak’, kita berdua, kita kena kuat. Daripada kenal sampai sekarang.
Cuma bila sudah berkahwin kami lebih selesa. Bila ada anak orang kata hubungan lebih kuat, Alhamdulillah. Bila ada anak juga kami menjadi pasukan yang lebih baik.
#G: Sejak lahir dan dua bulan pertama Tuah Alam membesar, anda sempat menyembunyikan wajah anak sulung kalian. Mengapa berbuat demikian? Tidakkah berasa tindakan itu terlalu defensif atau sekadar menjaga privasi Tuah Alam?
RI: Sejujurnya masih terlalu awal untuk saya dedahkan wajah Tuah Alam kepada umum. Saya seorang yang konservatif dan tahu serba sedikit mengenai ilmu alam. Tentang penyakit Ain misalnya.
Untuk tiga bulan pertama kelahiran Tuah, memang saya rasa perlu privasi sikit, macam kain putih. Tapi setelah dia mencecah usia tiga bulan, saya dan isteri terbuka untuk berkongsi wajah Tuah kepada umum.

EZZA PERNAH GUGUR, RAHSIA GABUNGAN NAMA TUAH & ALAM

#G: Ceritakan sikit mengenai pemilihan nama Tuah Alam. Jujurnya ia sangat unik. Mungkin ada kisah di sebaliknya?
RI: Sebenarnya saya sudah memikirkan nama Tuah atau nama legenda Melayu lama ini sejak sebelum berkahwin. Saya mahu jika berkahwin, anak saya dinamakan sempena nama legenda Melayu.
Sekarang apabila sudah dapat anak, saya putuskan untuk menamakannya Tuah. Kenapa?
Sebab sebelum Tuah lahir, Ezza pernah keguguran. Jadi apabila Tuah lahir situasi ini sangat berkait dengan kehidupan kami. Nama Tuah sangat sesuai. Tuah kami diberi kesempatan ada anak.
Maksud Tuah dalam Melayu jika diterjemahkan dalam bahasa Inggeris misalnya bermaksud luck. Kemudian saya gabungkan nama Tuah dengan Alam. Alam adalah universe.
Tuah Alam Mohammad Zalimei. Charm luck untuk semua orang yang pernah dan akan berkenalan dengannya.
EY: Saya memang tidak ada langsung pilihan nama anak. Untuk hal kreatif saya memang beri pada Remy. Dia selalu ada benda menarik untuk direalisasikan. Jadi bila dia cakap Tuah, saya terus suka. Alam pula perbincangan bersama, Alam bunyi sejuk.
Saya tidak suka membesarkan atau menyusahkan satu perkara seperti pemilihan nama anak. Jadi saya okay dengan pilihan Remy.
#G: Anda rasa Tuah Alam lahir pada waktu yang tepat?
RI: Saya percaya Allah sudah tetapkan semua. Saya dulu merancang kahwin awal. Tapi Allah tahu saya tidak sedia jadi Allah lambatkan jodoh.
Dulu saya mahu kahwin awal kerana rasa mahu ada yang menjaga saya. Saya merantau lama di Kuala Lumpur dan ada perasaan untuk punya pasangan yang menjaga makan pakai saya.
Tapi mungkin sebenarnya saya pun tak ready, saya hanya ada perasaan atau mahu kahwin awal. Sehingga jumpa Ezza, kami berkahwin juga lewat, masing-masing usia sudah melewati 30 tahun.
Kemudian Tuah juga lahir lambat sedikit, waktu saya sudah masuk usia 40 tahun. Tuah lahir masa saya matang, dulu saya stress setiap masa tapi sekarang banyak hal yang telah berubah.
#G: Adakah anda akan menjenamakan Tuah Alam seperti Remy Ishak misalnya?
RI: Untuk penjenamaan buat masa ini saya belum terfikir tapi saya akui nama Tuah Alam memang kuat dari pelbagai segi. Mungkin satu hari dia akan jadi orang kreatif misalnya pelukis, penjenamaan ini kuat. Tapi tentang produk saya tak fikir lagi.
Sewaktu Tuah lahir, banyak orang beri macam-macam. Baju dan sebagainya. Saya sangat hargai tapi saya juga berfikir mungkin ada yang kata saya ambil semua. Tapi apa yang saya nak cakap ini berkait dengan kehidupan saya dulu.
Sebab dulu bila ada tawaran datang bila saya rasa tidak sesuai, saya tolak. Banyak yang saya tolak. Pada satu fasa Allah macam sekat terus rezeki saya mungkin sebab Dia banyak beri tapi saya banyak tolak, macam tidak berterima kasih.
Berdasarkan pengalaman dulu, jangan tolak rezeki Allah. Begitu juga apabila ada produk mahu bekerjasama dengan Tuah. Saya lihat itu sebagai rezeki. Rezeki nama Tuah. Saya tidak mahu tolak.
EY: Sebenarnya selepas berkahwin dan Tuah lahir, Remy menjadi lebih terbuka berbanding sewaktu kami bercinta dahulu. Memang banyak perkara yang difikirkan tentang privasi.
Tapi sejak Tuah lahir, Remy lebih terbuka. Misalnya mengenai sesi fotografi berkonsep buat Tuah yang kami lakukan sebelum ini. Saya jujurnya tidak sangka dia akan setuju untuk melakukan sesi fotografi tersebut.
Kemudian kami berdua secara bersama setuju untuk membuka Instagram buat Tuah iaitu Tuah.Alam. Ya, Remy lebih terbuka sejak bergelar bapa.

LAHIR DARI BROKEN FAMILY, INI HARAPAN REMY PADA KELUARGANYA

#G: Memang agak klise soalan ini. Adakah anda sudah mula merancang mempunyai anak lagi?
RI: Tidak. Buat masa ini tidak terfikir (anak lagi) kerana sekarang mahu beri kasih sayang pada Tuah. Sebab apa? Sebab saya takut kasih sayang tidak dapat diberi sebaiknya. Takut pincang keluarga tanpa kasih sayang.
Sekarang saya percaya kasih sayang saya hanya boleh ada untuk Tuah dan Eza. Jika pada masa akan datang, saya rasa memang kena rancang jika mahu ada anak lagi.
#G: Apakah pandangan anda mengenai institusi keluarga misalnya keluarga yang lengkap adalah keluarga yang punya ibu dan bapa serentak.
RI: Saya percaya kepada institusi keluarga perlu lengkap. Saya sendiri datang dari keluarga dengan ibu dan bapa bercerai. Jadi saya tahu bagaimana rasanya.
Sebaiknya saya mahu perkara seperti itu tidak berlaku kepada kami atau Tuah.
Jadi saya percaya perkara terbaik yang boleh diberikan ibu bapa adalah pendidikan dan utamakan kasih sayang. Jika sebagai ibu dan bapa tidak mampu memberi kasih sayang yang cukup, bimbang nanti (anak) memberontak.
#G: Bagaimana anda dan Ezza sebagai pasukan atau menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa?
RI: Saya dan isteri masih dalam proses awal, kami mencari macam mana jalan untuk menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak kami. Tidak mahu terlalu defensif kerana takut menganggu tumbesaran anak.
Saya lebih senang melihat bagaimana kelak progres Tuah dan beri ilmu dengan harapan dia jadi smart in person. Misalnya jika dia buat salah pun ia okay sebab kita belajar dari kesilapan.
Pada masa sama cabaran menjadi ibu bapa zaman kini agak mencabar terutama bila menyentuh tentang kepesatan teknologi. Ada pro dan kontranya kerana ia (teknologi) tidak boleh ditolak sepenuhnya.
EY: Saya banyak menyerahkan keputusan kepada Remy. Apa yang dia fikirkan terbaik untuk keluarga kami, maka saya ikut. Namun sebelum keputusan dibuat, kami akan berbincang tapi saya percaya setiap keputusan yang diambil Remy selalunya tepat.
Kami hanya mahukan yang terbaik buat Tuah Alam dan sebagai pasangan ibu dan bapa baharu, banyak lagi ilmu keibubapaan yang perlu dipelajari. Saya bersyukur kerana Remy banyak membantu. Walapun dia sibuk di lokasi tapi Remy tetap banyak membantu, sama-sama tidak tidur malam misalnya jaga Tuah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live