Siasatan berhubung kes seorang guru sebuah sekolah rendah di Balik Pulau di sini, yang didakwa menunjukkan kemaluan ketika berada dalam kelas masih dalam siasatan polis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata pihaknya sedia maklum mengenai kejadian itu, namun tiada butiran lanjut memandangkan ia masih dalam siasatan.

"Kes itu sudah dilaporkan kepada polis dan biar mereka jalankan siasatan dulu. Sekiranya kejadian itu benar berlaku, siasatan akan dilakukan di bawah (mengikut) kes gangguan seksual.

"Kita tidak akan berkompromi dengan kes sebegini, tidak kira ia membabitkan guru mahupun pelajar," katanya kepada media di Jalan Timah, Georgetown, Pulau Pinang pada Rabu.

Dalam kejadian itu, difahamkan seorang wanita mendakwa anaknya berusia 10 tahun memberitahu bahawa guru lelaki menunjukkan kemaluan ketika berada dalam kelas pada 2 November lalu, sebelum wanita terbabit membuat laporan polis.

BERITA TRENDING: Cabul Empat Orang Kanak-Kanak Perempuan, Guru Taekwondo Dicekup

BERITA TRENDING: Guru Bahasa Arab Mengaku Tidak Bersalah Cabul Murid Lelaki Darjah 6

Sumber: Berita Harian