Sejak mencipta nama sebagai penyanyi, banyak lagu daripada pelbagai genre telah dirakamkan oleh Hafiz Suip.

Menerusi material yang diluncurkan, pelbagai kisah dan mesej terkandung dalam setiap lagu. Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.

Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Terbaharu, Hafiz, 33, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip muncul dengan single berjudul Terus Bersinar.

Menurut Hafiz, lagu Terus Bersinar yang bergenre balada itu mengandungi mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta ketika kali pertama mendengar melodinya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu. Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus. Apabila saya dengar karya yang dihasilkan, semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada ciptaannya diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,” katanya.

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu Terus Bersinar bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

“Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan.

“Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

Terus Bersinar boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik pada 30 Oktober ini manakala video muzik rasmi single tersebut boleh mula ditonton pada hari yang sama pukul 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos.

BERITA TRENDING: “Ya Allah Semangat Nak Selfie Dengan Bini Aku” - Hafiz Suip Happy Bila Isteri Berhijab, Ramai Doakan Semoga...​