HIBURAN
Hafiz Suip Sudah Bercerai Pada Mei, Jaga Hubungan Baik Dengan Bekas Isteri Demi Anak - “Tipulah Kalau Kata Saya…”
Penyanyi, Hafiz Suip mengesahkan rumah tangganya dengan Nureffy Jasreel Abdullah telah berakhir dengan talak satu yang disahkan di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.
Menurut Hafiz atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, hak penjagaan anaknya juga diserahkan kepada bekas isterinya buat sementara waktu kerana menganggap ibu adalah tempat perlindungan buat anaknya.
"Secara rasmi saya sudah bercerai talak satu dengan isteri pada 29 Mei lalu. Anak-anak dibawah jagaan bekas isteri.
"Secara rasionalnya, sudah tentu kalau saya berada dalam situasi ini, saya akan pilih ibu saya.
"Saya rasa ibulah merupakan pilihan tepat untuk mengambil penjagaan anak-anak. Kalau kita nak lawan fasal hak ini sampai bila pun tak habis," katanya kepada Gempak.
Hafiz berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam acara sesi beramah mesra bersama media yang diadakan di Bienz, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada malam Isnin.
Dalam pada itu, Hafiz masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri bagi memudahkan mereka untuk berbincang urusan anak-anak memandangkan dirinya kini menetap di Kuching, Sarawak.
Jelas Hafiz, dia enggan merumitkan lagi keadaan dan mahu isu penjagaan anak-anak ini diselesaikan dengan baik.
"Tipulah kalau kata saya tak ingat anak, setiap hari saya fikirkan anak-anak, nak hubungi mereka tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri.
"Sekarang saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan tentang urusan anak-anak. Contohnya macam mana saya nak berjumpa dengan mereka sama ada sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur.
"Saya tak mahu menimbulkan masalah. Cukuplah turun naik mahkamah untuk urusan penceraian. Penat," ujarnya.
Bagaimanapun, Hafiz mengakui dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku sebaliknya reda dan menganggap segala dugaan yang dilalui adalah ketentuan Ilahi yang memberi pengajaran berharga dalam hidupnya.
"Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ini adalah pengajaran dan pengalaman.
"Ia juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya. Jangan saling menyalahkan kerana hati kita tidak akan rasa tenang.
"Dalam Islam juga ada mengajar kalau nak rasa tenang kita kena berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang," katanya.
Untuk rekod, Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhamamd Alkaf Zayne, 5 tahun.
BERITA BERKAITAN: Hafiz Suip Berdamai Dengan Takdir, Belajar Tentang Penyesalan Hidup - “Amarah… Salah Satu Yang Menyebabkan Diri Saya Hancur”
BERITA BERKAITAN: “Berjauhan Dengan Anak Paling Menyakitkan” - Hafiz Suip Masih Terluka, Cuba Berdamai Dengan Takdir
BERITA BERKAITAN: Hafiz Suip Sebak, Terpaksa Berjauhan Dengan Anak-Anak - “Setiap Hari Rasa Nak Call Walaupun Macam Mustahil…”
BERITA BERKAITAN: Hadapi Masalah Kesihatan, Hafiz Suip Tak Dapat Adakan Persembahan Di Konsert MeleTOP TVS
Must-Watch Video