HIBURAN
Haiza Terkilan Tak Sempat Ziarah Arwah Zaleha Hamid, Ingat Nasihat Agar Hargai Peminat - “Saya Ingat Sakit Biasa, Rupanya Kena Strok”
Penyanyi dan penyampai radio, Haiza, meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat menziarahi penyanyi dangdut era 1980-an, Allahyarham Zaleha Hamid sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
Kongsi Haiza, dia memaklumkan setiap kali pulang ke Johor atas urusan persembahan, dia menyimpan niat untuk menjenguk Allahyarham, namun kesibukan kerja menghalangnya.
“Saya ralat juga sebenarnya, setiap kali saya pulang ke Johor untuk memenuhi jemputan show saya berhasrat mahu ziarah arwah.
“Tetapi bila di sana, saya buat kerja dan terus pulang ke Kuala Lumpur. Tak teringat untuk ziarah tetapi niat itu sudah ada.
“Bila dapat berita pemergian arwah, saya terus teringat arwah adalah seorang yang baik, kelakar dan suka beri nasihat,” kongsi kepada Gempak.
Haiza ditemui pada majlis sambutan meraikan ulang tahun ke-30 Haiza dalam industri seni di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Sabtu lalu.
Haiza turut berkongsi bahawa kali terakhir dia berhubung dengan Allahyarham adalah sebelum Zaleha diserang angin ahmar.
“Saya rasa sebelum Allahyarham jatuh sakit.
“Saya tahu apabila dia terkena angin ahmar, saya dan arwah baru sahaja menjayakan sebuah acara di luar Johor.
“Kemudian saya dapat khabar dia tidak sihat dan saya sangka ia cuma sakit biasa tetapi rupanya kena strok,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, pelantun lagu Dag Dig Dug itu turut mengenang antara pesanan paling bermakna yang dititipkan Allahyarham, khususnya tentang menghargai peminat.
“Banyak nasihat saya terima terutama dari segi bertemu peminat. Mereka adalah orang memanjangkan jangka hayat kita dalam industri.
“Saya banyak belajar daripada dia cara untuk menyantuni peminat, bergurau dengan semua orang
“Saya selalu jaga perkara itu,” ujarnya.
Terdahulu, Zaleha atau Siti Zaleha Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.30 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Allahyarham meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60 dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.
Must-Watch Video