Pelakon Amar Asyraf melahirkan rasa syukur selepas pengacara dan aktor Zizan Razak memborong pakaian jualannya berjumlah RM500 menerusi sesi Instagram Live yang berlangsung semalam.

Lebih manis, menerusi sesi berkenaan, Zizan berniat untuk memberi sedekahkan baju-baju yang baru dibelinya itu kepada pengikut-pengikut Instagram Amar.

“Saya nak belilah. Betul ni. Saya nak beli dalam RM500 lepas itu sedekah dekat sesiapa. Saya akan DM nombor telefon, awak bagi no akaun, nanti saya transfer,” ujar Zizan ringkas.

Sungguhpun kelihatan terkejut dengan permintaan tersebut, Amar bagaimanapun bersetuju dan tidak henti-henti melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Zizan.

“Saya doakan semoga murah rezeki Zizan,” katanya.

A post shared by Amar V. Asyraf (@amar_asyraf)


Selain itu, Amar turut mengekspresikan rasa syukurnya menerusi ruangan kapsyen, sambil berterima kasih kepada dua lagi rakan artis lain yang turut sudi membeli pakaian daripadanya.

“Allahuakhbar. Hari ni Allah hantar Zizan Razak untuk saya. Kemudian Johan Asari tolong saya.

"Tadi saya nampak seorang lagi saudara saya Zahiril Adzim juga.Terima Kasih juga pada ramai lagi yang beli untuk sedekah baju pada viewers.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalau ada rakan-rakan terdekat saya tak perasan tadi saya minta maaf. Terima kasih tolong saya. Betapa jasa tuan puan Allah sahaja yang dapat balas.

“Saya ni amal tak banyak. Alhamdulillah Allah kabul doa saya semalam. Kalaulah nampak saya di neraka.. tuan puan tariklah saya ke syurga. Assalamualaikum. Terima Kasih semua tuan puan yang mulia,” tulisnya.

Menurut Amar, dia akan memilih 11 orang pengikut sebagai penerima sekitar 45 helai baju yang telah diborong oleh Zizan.