Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha tak sangka apabila dapat mengendalikan kes guaman mengenai pasangan yang tak jadi kahwin dalam drama bersiri Tetuan Ang dan Rahimin.

Menurut Daiyan selama ini dia hanya mendengar kisah itu di media sosial dan tak menyangka dapat berlakon sebagai peguam yang mengendalikan kes tersebut.

“Dalam banyak kes yang saya lakonkan dalam drama ini saya tertarik dengan kes tak jadi kahwin. Yelah selama ini saya hanya dengar di media sosial sahaja.

“Pengalaman pada diri sendiri itu tak ada lah, cuma saya pernah dengar orang jual baju kahwin di media sosial dengan alasan tak jadi kahwin.

“Tapi kali ini bila saya dapat tahu yang saya lakonkan ini adalah kes sebenar yang pernah berlaku mengenai pasangan yang tak jadi kahwin, saya rasa ia kelakar dan menarik.

“Bukan apa, tak sangka alasan yang diberikan itu sangat remeh tapi ia boleh menjadikan satu keputusan itu berubah,” katanya.

Daiyan dan dua lagi pelakon Tetuan Ang dan Rahimin ditemui ketika sesi virtual siding media mengenai drama bersiri berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai wataknya sebagai Budi, Daiyan memberitahu dia merupakan seorang peguam muda yang ‘clumsy’.

“Budi seorang peguam yang ‘clumsy’ yang saya rasakan lain dari watak peguam biasa yang serius. Dia masih baru dan Nampak kekok.

“Saya pasti penonton akan nampak satu karakter lain dalam cerita ini,” katanya lagi.

Drama 20 episod itu turut dibintangi pelakon lain seperti Anita Baharom, Ellyas Abdullah, Shahril Sarjen, Iman Corrine Adrienne, Samsul Ahmad dan ramai lagi.

Diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Wan Alauddin, Tetuan Ang & Rahimin bakal bersiaran pada 14 Februari ini, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO.

A post shared by Rashidi Ishak (@rashidi_ishak)