Hiburan
Ikatan Pertunangan Elfira Loy & Sufian Suhaimi Putus
Ibu kepada aktres Elfira Loy, Filzah Yusoff mengesahkan ikatan pertunangan anaknya dengan penyanyi Sufian Suhaimi sudah putus.
Menurut Filzah, ikatan pertunangan anaknya baru sahaja putus dan percaya semua perkara mempunyai hikmah tersendiri.
“Tiada apa yang perlu saya huraikan lagi kerana sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang. Insya-Allah dalam masa terdekat, bapa Elfira akan menemui keluarga Sufian untuk menyelesaikan urusan itu mengikut adat.
"Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya. Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya, termasuk dalam hal membabitkan jodoh.
"Saya cuma berharap anak saya dipertemukan dengan lelaki yang jujur, beriman dan tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga. Ini kerana rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha," katanya kepada BH Online.
Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober 2017 dan mengikut perancangan, mereka bakal bernikah awal bulan depan.
Hubungan Elfira dan Sufian didakwa berantakan semenjak hujung tahun lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik foto bersama di laman sosial.
Sumber: BH Online
Must-Watch Video