Laman Utama
Instafamous Mengaku Salah Dengan PU Amin, Simpan Hasrat Nak Jemput Lagi Untuk Tazkirah Di Pejabat - "Tak Sangka Akan Tercetus Seteruk Ini"
Personaliti media sosial Nadira Isaac tampil membuat permohonan terbuka di Instagram susulan foto seksinya bersama pendakwah bebas PU Amin yang tular, baru-baru ini.
Menurut Nadira, dia mengakui akan kesilapannya dan tidak menyangka perkongsian itu telah memberi kesan buruk terhadap PU Amin.
"Terima kasih PU Amin sudi datang ke majlis. Tak sangka benda ni akan tercetus seteruk ini. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada PU kerana tercalit dengan isu ini.
"Tujuan berkongsi gambar itu ialah kebiasaan saya untuk posting di Instagram, sama seperti posting-posting sebelum ini. Tapi mungkin kali ini saya akui kesilapan saya.
"Sangat berterima kasih kepada PU kerana sempat memberi tazkirah yang sangat berguna kepada tetamu.
"Saya rasa pendekatan tazkirah PU sangat sesuai kerana saya ramai kawan dari golongan LGBT (merujuk secara kelompok kepada golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual)," katanya menerusi sebuah rakaman video.
Dalam pada itu, Nadira menyatakan niatnya untuk berusaha memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.
Tambahnya, dia juga akan menjemput PU Amin untuk memberi tazkirah di pejabat kelak dalam suasana yang lebih selesa.
"Saya akan berusaha memperbaiki diri pada masa akan datang dan kalau diberi peluang saya teringin menjemput PU untuk sesi khas tazkirah di pejabat dalam suasana yang lebih proper," katanya lagi.
Terdahulu, gambar PU Amin bersama Nadira dan seorang lagi personaliti media sosial sewaktu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur tular di media sosial.
Mengimbas semula situasi sebenar yang berlaku pada majlis terbabit, kata PU Amin dia hanya dijemput untuk membacakan doa dan niatnya demi menyebarkan dakwah dengan cara turun padang.
Must-Watch Video