Skip to main content

Berita Tempatan

"Insya-Allah, Allah SWT Permudahkan" - Hukuman Sembilan Bulan Farid Kamil Ditangguhkan

farid-kamil.jpg
Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari dapat menangguhkan pelaksanaan hukuman sembilan bulan dikenakan terhadapnya atas tuduhan dadah.

Menurut laporan Harian Metro, Farid berharap agar segala proses terhadap dirinya akan dipermudahkan.

"Insya-Allah, Allah SWT Permudahkan," katanya.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan Farid, 38, selaku pemohon dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini.

Farid Kamil sudah menjalani hukuman itu di Penjara Kajang selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.

Dalam keputusannya itu, Hakim Ab Karim turut memerintahkan pelakon utama filem Lagenda Budak Setan itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, Farid diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Dalam prosiding itu, adik Farid, Fadzil hadir sebagai penjaminnya manakala isterinya, Datin Diana Danielle tidak kelihatan di galeri awam.

Selepas tamat prosiding itu, Farid dibawa keluar oleh polis mahkamah dan beliau dilihat hanya tersenyum apabila pihak media menyoalnya.

Pada 15 Mei lalu, Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berikutan itu, Farid yang juga bapa kepada dua cahaya mata dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara berkenaan diperintah bermula tarikh sabitan, iaitu pada hari sama.

Must-Watch Video

Advertisement