Laman Utama
Iqbal Mohon Jangan Paksa Menunjuk Hal Bantuan Ke Malaysia - "Ramai Juga Minta Perkara Bukan Keperluan"
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, usahawan dan penyanyi baru, Iqbal Zulkefli kini berada di Indonesia.
Iqbal juga kerap berkongsi perkembangan dan pendapat di akaun Instagram (IG) miliknya.
Antara yang terbaru, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida itu akui mengutamakan golongan yang memerlukan bantuan di depan matanya terlebih dahulu, kerana walaupun bukan di negara sendiri, mereka juga manusia.
"Ramai yang berkata kepada saya, rakyat Malaysia ramai yang susah, bantulah orang Malaysia.
"Begini, pada saya, apa yang ada di depan saya, yang mahu saya bantu, saya utamakan dulu. Tidak kira mereka dari negara mana kerana mereka juga manusia," kongsinya di IG Story.
Dalam pada itu, Iqbal juga memohon kepada pihak berkaitan agar tidak memaksa dia menunjuk perihal bantuan yang dihulur ke Malaysia atas dasar privasi.
Katanya juga, ada pihak dari Malaysia yang tidak jujur dalam meminta bantuan dengan meminta perkara yang tidak sepatutnya.
"Bantuan ke Malaysia, juga saya bagi cuma jangan memaksa saya untuk tunjukkan di media sosial. Ini privasi saya, jadi bagaimana dengan ribuan orang DM meminta bantuan, tetapi tidak dibantu?
"Saya ada bantu cuma tidak ramai. Saya tidak menerima info yang jelas dan tidak mampu memeriksa satu persatu. Oleh kerana banyak juga yang tidak jujur, banyak juga yang meminta perkara yang bukan keperluan," tambahnya.
Justeru, penyanyi lagu Hujan itu lebih selesa jika menghulurkan bantuan dengan tangan sendiri atau melalui individu yang betul-betul dipercayai.
"Saya lebih senang memberikan bantuan dengan tangan saya sendiri ataupun orang yang say percaya yang menghulurkannya," kongsinya lagi.
Terdahulu, Iqbal memaklumkan perancangannya berada di Indonesia untuk satu tempoh panjang atas urusan kerja dan mencari ketenangan di luar Malaysia.
Must-Watch Video