BERITA
Israel Bunuh Lebih 400 Orang Di Gaza, Gencatan Senjata Di Ambang Kehancuran
Serangan udara Israel yang menggempur Gaza pada Selasa mengorbankan lebih daripada 400 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan ini mengakhiri tempoh beberapa minggu ketenangan relatif selepas rundingan untuk mencapai gencatan senjata kekal terhenti.
Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang secara umumnya bertahan sejak Januari. Perjanjian tersebut telah memberi sedikit kelegaan kepada 2.3 juta penduduk Gaza ekoran sebilangan besar bangunan telah musnah.
Hamas, yang masih menahan 59 daripada kira-kira 250 tebusan yang didakwa Israel diculik dalam serangan 7 Oktober 2023, menuduh Israel menggagalkan usaha perunding untuk mencapai perjanjian kekal bagi menamatkan pertempuran.
Bagaimanapun, berbeza dengan Israel, Hamas tidak mengeluarkan sebarang ancaman untuk membalas serangan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan, beliau akan mengeluarkan kenyataan pada pukul 8 malam waktu tempatan, sementara media Israel melaporkan Kabinet akan bermesyuarat sejam selepas itu.
Pada Selasa, Netanyahu berkata, beliau telah mengarahkan serangan ke atas Hamas kerana menolak cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata dan berjanji akan meningkatkan tindakan ketenteraan.
Serangan udara itu menyasarkan rumah dan kem pelarian dari utara ke selatan Gaza, dan kereta kebal Israel turut menembak dari sempadan, menurut saksi.
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza melaporkan, seramai 404 orang terkorban dalam serangan terbaharu rejim Zionis menjadikannya antara jumlah korban tertinggi dalam sehari sejak perang bermula.
"Ia adalah malam neraka. Ia terasa seperti hari-hari pertama perang," kata Rabiha Jamal, 65, seorang ibu kepada lima anak dari Gaza City.
Arahan pindah
Serangan udara turut menyebabkan orang awam di Beit Hanoun, utara Gaza, dan kawasan timur Khan Younis di selatan melarikan diri dari rumah mereka.
Ada yang berjalan kaki, ada yang menaiki kereta atau beca sambil membawa barang-barang mereka setelah tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan, memberi amaran bahawa kawasan tersebut adalah "zon pertempuran berbahaya."
Mesir dan Qatar yang bertindak sebagai perantara dalam perjanjian gencatan senjata bersama Amerika Syarikat, mengecam serangan Israel, sementara Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan menyatakan mereka "menyesali kegagalan gencatan senjata."
"Kesatuan Eropah [EU] menyeru Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya dan mengulangi gesaan kepada Hamas supaya segera membebaskan semua tebusan," kata kenyataan bersama Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, serta Pesuruhjaya Dubravka Suica dan Hadja Labib.
Penyelaras bantuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher pula berkata, "kemajuan kecil" yang dicapai semasa gencatan senjata kini musnah.
Israel telah menghentikan penghantaran bantuan ke Gaza selama lebih dua minggu, memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Namun, Dorothy Shea, pemangku Duta AS ke PBB berkata, Hamas sepenuhnya bertanggungjawab atas penyambungan semula konflik di Gaza dan menyatakan sokongan terhadap langkah-langkah seterusnya oleh Israel.
Timbunan mayat
Bekas tebusan dan keluarga mereka yang masih ditahan di Gaza meluahkan kemarahan terhadap perang yang kembali berlanjutan.
Bekas tebusan Yarden Bibas, yang isteri dan dua anak lelakinya terbunuh semasa dalam tahanan, menulis di Facebook: "Keputusan Israel untuk kembali berperang membawa saya kembali ke Gaza, ke saat-saat di mana saya mendengar bunyi letupan di sekitar saya dan takut bahawa terowong tempat saya ditahan akan runtuh... tekanan ketenteraan membahayakan tebusan, tetapi perjanjian boleh membawa mereka pulang."
Di Gaza, saksi yang dihubungi oleh Reuters berkata, kereta kebal Israel menembak ke arah kawasan Rafah di selatan.
Kanak-kanak yang keliru duduk bersebelahan dengan beg berisi barangan mereka, bersedia untuk melarikan diri sekali lagi ke utara setelah kembali ke Rafah semasa gencatan senjata.
Di hospital yang sudah pun terbeban akibat serangan selama 15 bulan, mayat-mayat dalam beg plastik putih yang berlumuran darah bertimbun ketika lebih ramai mangsa dibawa masuk.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, ramai mangsa yang terbunuh merupakan kanak-kanak dan 562 orang pula cedera.
Antara pegawai Hamas yang terbunuh dalam serangan udara Israel termasuk Ketua Kerajaan Hamas, Essam Addalees; Timbalan Menteri Kehakiman, Ahmed Al-Hetta dan Ketua Pasukan Keselamatan Hamas, Mahmoud Abu Watfa,.
Sementara Israel melancarkan operasi di Gaza, tenteranya juga meneruskan operasi di Tebing Barat yang diduduki serta melancarkan serangan udara ke sasaran di selatan Lubnan dan Syria dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kegagalan gencatan senjata
Pasukan perunding dari Israel dan Hamas berada di Doha ketika perantara berusaha menyelesaikan perbezaan antara kedua-dua pihak selepas fasa pertama gencatan senjata berakhir.
Dalam tempoh itu, 33 tebusan Israel dan lima rakyat Thailand dibebaskan sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Israel mendesak baki tebusan dikembalikan sebagai pertukaran bagi lanjutan gencatan senjata sekurang-kurangnya sehingga selepas bulan Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi pada April.
Namun, Hamas bertegas mahu beralih kepada rundingan untuk menamatkan perang sepenuhnya dan pengunduran penuh tentera Israel, sebagaimana dalam perjanjian asal gencatan senjata.
Pada Selasa, jurucakap Hamas, Abdel-Latif Al-Qanoua memberitahu Reuters, kumpulan itu masih berhubung dengan perantara dan tetap berhasrat menyelesaikan pelaksanaan perjanjian asal.
Perang ini tercetus selepas kumpulan bersenjata Hamas menyerang Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang menurut angka Israel.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih daripada 48,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. - Awani/Agensi
Must-Watch Video