Laman Utama
Isteri Gemar Bersolek Ketika Hamil, Jamal Abdillah Ceburi Bidang Kosmetik - "Ini Hadiah Dia Hamil Anak Ketiga"
Menceburi perniagaan di usia yang lewat tanpa ada pengalaman selalunya agak berisiko, apatah lagi jika perniagaan yang dijalankan itu sesuatu yang di luar kepakarannya.
Namun berbekalkan semangat yang tinggi membuatkan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah tekad untuk memulakan perniagaan berkaitan kosmetik walaupun sebelum ini beliau memiliki bisnes ikan arowana.
Jamal, 62, berkata, dia memilih untuk menjadi rakan bisnes kepada Zarania memandangkan syarikat itu memiliki reputasi tinggi apabla pernah mengeluarkan produk jenama Natasya yang mampu bertahan di pasaran lebih 10 tahun.
Advertisement
Jelas bapa kepada empat anak itu, idea kerjasama itu tercetus apabila dia melihat hobi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin yang gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa.
"Jadi saya jalin kerjasama dengan Zarania sebagai hadiah sempena isteri saya hamil anak kami yang ketiga.
"Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang kosmetik.
"Tapi saya percaya produk ini boleh pergi jauh dan mungkin ini permulaan dalam bidang ini dan kalau ada rezeki, kami akan keluarkan pelbagai produk kosmetik lain," katanya.
Jamal berkata, ketika ini, sebanyak sembilan produk antaranya maskara, lipmate, pembayang mata, bedak padat, bedak asas dan krim magik yang telah berada di pasaran dengan harga mampu milik yang bermula serendah RM25 hingga RM49.
Malah sebagai penghargaan kepada lagu popularnya, katanya, set Azura turut diperkenalkan dengan menawarkan harga pakej lebih jimat di mana pembeli berpeluang untuk menang pelbagai hadiah menarik.
"Satu perkara tentang keistimewaan produk Zarania ini apabila semua rangkai produknya dihasilkan oleh kilang tempatan yang memiliki sijil bertauliah oleh Amalan Pengilangan Baik (GMP).
"Malah bahan kandungan dalam produk ini selamat digunakan, sesuai untuk segala peringkat umur selain kualiti setanding dengan produk antarabangsa. Kalau hendak tahu apa lagi keistimewaan produk ini, orang ramai mestilah kena cuba produk ini," katanya.
Jamal menambah, dia dan rakan kongsi turut menyasarkan jualan bukan hanya dalam Malaysia tetapi juga di Brunei, Indonesia serta Singapura.
Tambahnya, jika ada rezeki pada masa akan datang, pihaknya ingin mengeluarkan lebih banyak produk yang biasa digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Hari ini pun golongan lelaki yang gemar memakai produk komestik dan mungkin lepas ini Zarania akan keluarkan produk kosmetik untuk lelaki pula.
"Seperti yang saya katakan, bisnes ini sebenarnya sebagai tanda penghargaan saya kepada isteri saya dan saya cuma membantu dia dalam menjayakan perniagaan ini," ujarnya.
Jamal turut meluahkan rasa syukur apabila rangkaian produk Zarania kini semakin menjadi pilihan pengguna yang boleh didapati secara atas talian di pasaran.
"Saya bersyukur apabila sepanjang pandemik masih ramai yang membeli produk ini biarpun secara dalam talian. Lagi pula, ini juga antara strategi pemasaran syarikat sekarang untuk memberi fokus kepada jualan di atas talian," katanya yang memberitahu maklumat lanjut boleh diperolehi laman sosial Facebook dan Instagram Zarania Beauty.
Pada Ogos lalu, rezeki Jamal tidak putus-putus apabila dia bakal dikurniakan cahaya mata lagi selepas isterinya hamil 12 minggu anak ketiga mereka.
Pasangan itu memiliki anak kedua, El Issac Yamani pada 11 November tahun lalu.
Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan memperoleh cahaya mata perempuan, Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober 2019.
Selain Azura dan El Issac, Jamal turut mempunyai dua lelaki iaitu Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 15, menerusi perkahwinan terdahulu.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
Must-Watch Video