“Jangan Attack Semua Kebaikan Dia” - Video Khas Buat Isa Isarb Viral! Minta Orang Ramai Supaya...
Gara-gara insiden pergaduhan futsal di Taman Perindustrian Subang, baru-baru ini, nama YouTuber terkenal Isa Isarb menjadi sebutan ramai.
Namun, dalam saat orang ramai menghentam YouTuber tersebut, muncul sebuah video yang meminta supaya tidak melupakan kebaikan pernah dibuat Isa Sarb.
Menerusi video dimuat naik di sebuah akaun di TikTok itu, Isa Isarb dikatakan menjadi mangsa kecaman biarpun orang lain yang membuat salah.
“Geng dia yang buat hal, nama dia yang kena attack. Dia bersusah payah bantu orang ramai di Malaysia.
“Memang clan dia buat salah, salah tetap salah. Tapi jangan attack semua kebaikan yang dorang buat atas kesalahan diorang,” katanya.
Menerusi video tersebut terdapat juga rakaman lama memaparkan Isa Isarb memberi bantuan kepada orang ramai.
Walaubagaimanapun, menerusi tinjauan Gempak di posting berkenaan, orang ramai masih menghentam YouTuber tersebut.
Untuk rekod, seramai 12 individu termasuk YouTuber yang terbabit dalam pergaduhan di gelanggang futsal itu sudah ditahan polis, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, semua individu itu ditahan kira-kira jam 1 pagi dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang.
"Seorang YouTuber yang terbabit dalam kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
"Polis akan memohon perintah reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, viral satu video berdurasi lapan saat di media sosial yang menunjukkan YouTuber bersama beberapa rakannya didakwa bertindak ganas memukul seorang pemain futsal hingga cedera dalam satu pergaduhan di Gelanggang Futsal Ferro di Subang, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10.20 malam itu, mangsa didakwa diserang oleh 25 orang termasuk YouTuber hingga mengalami kecederaan teruk di muka dan badan.
Kejadian pergaduhan itu berlaku ketika berlangsung perlawanan persahabatan futsal membabitkan dua pasukan.