Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini.

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab khabar angin yang mengatakan PKP akan dilaksanakan susulan 100 kes COVID-19 yang diumumkan baru-baru ini.

Sebaliknya, kerajaan menumpukan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan sasaran iaitu lokasi terkesan COVID-19.

"Jadi kita hanya kawal pergerakan rentas melalui PKPD secara pentadbiran di kawasan sasaran. Jadi tidak timbul persoalan mengenai rentas negeri.

"Jadi khabar angin mengatakan apabila kes mencecah 100, kita akan ditutup iaitu PKP macam dulu. Jangan bimbang kita tidak akan laksanakan PKP setakat kita masih mampu tutup lokaliti-lokaliti tertentu," katanya dalam sidang media mengenai PKPP di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, langkah PKPD secara pentadbiran di Kota Setar dan Tawau selaras dengan mekanisme sama dilakukan di kluster terdahulu termasuk Kluster Sivagangga.

"Jika ada kes mendadak, kita tidak tutup negeri, tidak seperti dulu. Sebagai contoh apabila berlaku di Kluster Sivagangga yang menyaksikan berlaku penularan cepat, tetapi kita tak tutup seluruh negeri dan daerah, sebaliknya hanya di tiga kampung di Kedah dan dua kampung di Perlis.

“Kali ini, kaedah kita ialah tutup kawasan terlibat sahaja seperti di Tawau , kita tutup penjara," jelasnya.


Sumber: Astro Awani