Pemain bass Search, Nasir Daud menganggap cadangan peminat agar nama Search dapat digunakan oleh individu-individu yang pernah berkaitan dengan kumpulan itu tidak perlu diberi perhatian.

Satu Institusi Yang Perlu Dihormati

Nasir, 65, ketika ditemui di sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur berkata, perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan kerana Search merupakan satu institusi yang perlu dihormati.

"Cadangan itu, tak perlulah diberi perhatian. Benda sebegini tak pernah terjadi dan kebanyakan benda-benda pelik ini, berlaku di Malaysia sahaja. Saya rasa tak sesuai (untuk menggunakan nama Search).

"Kalau Search nak 'groom' (latih) dia punya legasi, kami akan pilih bakat-bakat baharu dan satu masa, mereka akan teruskan legasi Search ini daripada dijadikan satu jenama yang nak digunakan dalam pasaran untuk pelbagai produk.

"Jenama Search ini merupakan satu institusi yang orang boleh rujuk. Ini bukan baju, atau makanan atau apa. Ini satu institusi dan tolong hormatinya.

"Saya rasa, adalah lebih baik dan lebih ilmiah kalau Search pergi ke kolej-kolej atau universiti untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama generasi baharu.

"Kemudian, kami boleh kongsikan bagaimana Search dapat bertahan hampir lima dekad. Saya rasa, cara itu lebih sistematik dengan turun ke tempat-tempat begitu," katanya kepada Gempak.

Ditawarkan Untuk Ke Institusi Pengajian Tinggi

Malah Nasir berkata dia dan anggota Search iaitu Datuk Amy, Man Kidal serta Hillary Ang juga pernah menerima tawaran untuk turun ke institusi pengajian tinggi untuk berkongsi ilmu.

"Secara individu, ada jemputan yang kami terima. Tapi, kami sedang merancang untuk turun ke kolej dan universiti sebagai satu kumpulan.

"Kami nak kongsi pengalaman kami dan jadikan motivasi kepada generasi baharu untuk berjuang dalam kehidupan mereka, daripada kita melaung-laungkan, siapa yang boleh 'pakai' nama Search," ujarnya.

Isu Royalti

Berhubung isu royalti daripada album Rockology Search: Kid'Din Collection yang dikeluarkan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid tanpa pengetahuan mereka (Search yang dianggotai Nasir, Amy, Man dan Hillary), Nasir berkata mereka bakal mengambil tindakan mengikut saluran yang betul.

"Kami tak mahu cakap apa-apa dah. Bukan abaikan atau apa, tapi kita rehat dahulu buat sementara waktu. Apa pun nanti biarlah saluran yang betul. Saya tak katalah nak pergi ke mahkamah, tapi saluran yang betul.

"Kami tak tunggu apa pun. Kami tak kisah. Nak cakap, cakap. Benda ini dah tular dan semua orang dah tahu. Cuma, kalau ada pun, saya rasa saya tak nak sentuh sebab nanti melarat-larat," katanya.

Terbaharu, Search akan mengadakan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 21 September depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu bakal menyaksikan Search mempersembahkan lagu-lagu popular mereka, menggabungkan muzik Rock dan orkestra dan diiringi 30 pemuzik orkestra.

BERITA TRENDING: Pernah Diharamkan Beraksi, Singapura ‘Dilanggar’ & Ditawan Search