Berita
Jenazah Pindah Kenderaan Tiga Kali Harung Banjir
Gara-gara laluan di Kampung Paya Garok, Jalan Jerantut-Felda Padang Piol dinaiki air, jenazah seorang wanita terpaksa dipindahkan tiga kali dari van jenazah ke trak tentera.
Menerusi laporan Harian Metro, van jenazah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh gagal meneruskan perjalanan kerana jalan ditenggelami air sedalam 0.5 meter dan sejauh 100 meter, menyebabkan mustahil untuk dilalui oleh kenderaan ringan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar Haris Salleh Hamzah yang turut serta menguruskan jenazah berkata, sebaik tiba di Kampung Paya Garok, van yang membawa jenazah Zaiton Mohamad, 66, tidak dapat melalui kawasan yang digenangi air.
"Jenazah yang dibawa menggunakan van jenazah Hospital Hoshas dipindahkan ke trak tentera untuk menyeberangi kawasan digenangi air, kemudian dipindahkan sekali lagi ke van jenazah dari Felda padang Piol.
"Alhamdulillah pengurusan jenazah selamat dilakukan dengan kerjasama tentera, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat penghulu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.
Arwah Zaiton meninggal dunia di Hoshas akibat penyakit radang hati pada 11.35 malam tadi dan jenazah selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Felda Padang Piol hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan hampir 5,000 penduduk Mukim Tembeling Tengah, Ulu Tembeli dan Felda tidak dapat keluar ke bandar Jerantut berikutan Jalan Jerantut – Kuala Tahan berdekatan simpang Kampung Paya Garok, ditenggelami air Sungai Pahang.
Sumber, kredit foto: Harian Metro & Utusan Malaysia
Must-Watch Video