Maghribi hari ini bersedia untuk mengebumikan Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terperangkap dalam perigi selepas operasi menyelamat yang berjalan beberapa hari mendapat perhatian dunia.

Nasib kanak-kanak malang itu menarik perhatian global selepas dia terjatuh ke dalam perigi sempit sedalam 32 meter Selasa lalu dan mencetuskan rasa simpati di media sosial.

Pengebumian beliau akan diadakan di kampung asalnya di Ighrane, di pergunungan Rif di utara Maghribi, lokasi di mana tragedi itu berlaku, menurut saudaranya.

Pada malam Sabtu lalu, orang ramai bersorak kegembiraan apabila pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan Rayan dari perigi berkenaan selepas usaha keras dijalankan bagi menggeluarkannya.

Namun, harapan berubah menjadi kesedihan apabila berita mula tersebar bahawa usaha menyelamat itu terlewat dan Rayan disahkan meninggal dunia.


Berita pemergian Rayan diumumkan oleh kabinet diraja negara itu, selepas Raja Mohammed VI memanggil ibu bapanya dan menzahirkan ucapan takziah.

“Kami berterima kasih kepada baginda raja, pihak berkuasa dan semua orang yang sudah membantu kami. Semoga Tuhan memelihara jasadnya," kata bapa Rayan, Khaled Aourram.

Mayat Rayan dibawa ke hospital tentera di Rabat, menurut seorang sepupunya, biarpun tiada laporan bedah siasat diberikan.

Operasi menyelamat Rayan turut diikuti secara langsung di seluruh dunia, dan sebaik sahaja pengakhiran tragis itu diumumkan, bertalu-talu ucapan takziah dizahirkan kepadanya.

Pope Francis, yang turut meratapi kehilangan kanak-kanak itu, memuji suasana ketika operasi menyelamat itu, selepas semua pihak berkumpul bersama untuk cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak.

Sabtu lalu, Aourram berkata dia sedang membaiki perigi berhampiran kediamannya ketika anaknya itu terjatuh.

Bahagian sempit itu hanya 45 sentimeter (sm) melintang, terlalu sempit untuk menyelamatkan Rayan memaksa usaha menggali cerun terpaksa dilaksanakan.

Pasukan penyelamat, menggunakan jentolak dan menggali tanah di sekeliling lokasi Rayan terperangkap, sebelum mereka menggerudi untuk membina terowong bagi mengeluarkannya serta mengelak tanah runtuh.


Sumber: BH Online
Kredit foto: Sinar Harian