Pengasas pusat perlindungan Rumah Bonda di Setapak Kuala Lumpur yang disyaki terlibat kes penderaan remaja OKU berusia 13 tahun, dibebaskan selepas ditangkap pada 15 Julai jam 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa maju.

Wanita yang juga merupakan pemilik pusat perlindungan itu dibebaskan selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadapnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini telah dibebaskan.

“Pengasas pusat perlindungan Rumah Bonda di Setapak Kuala Lumpur telah ditangkap pada 15 Julai jam 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa maju.

Permohonan reman telah dibuat pada hari ini namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut dan suspek dibebaskan,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Sementara itu, Abd Jalil memaklumkan siasatan kes telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu bagi cadangan menuduh suspek serta tiga lagi individu lain.

Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 5(2) Akta Pusat Asuhan 1953.

Selain itu, polis turut menerima satu lagi laporan pada 14 Julai bagi siasatan kes melibatkan kegagalan memberi jagaan dan pengawasan yang mencukupi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11),Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan penahan suspek dibuat bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja OKU berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella mengalami kecederaan melecur pada anggota tubuh badan disyaki menjadi mangsa dera di rumah perlindungan.