Usahawan Liana Rosli memanjatkan rasa syukur selepas sebahagian barang kemas dan peti besi miliknya yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta, berjaya ditemukan di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor, semalam.

Liana atau lebih dikenali sebagai Kak KM, 43, mengakui yang dia mengalirkan air mata saat diberitahu barangan berharga yang hilang telah ditemui semula.

“Saya ada di rumah ketika anggota polis datang. Selepas diberitahu telah jumpa semula barang-barang kepunyaan saya, beserta bukti gambar, saya terus melalak (menangis). Tak tahu nak cakap apa.

“Tak sangka, Allah SWT kembalikan semula hak saya. Ibaratnya, Tuhan pinjam sekejap dan pulangkan semula,” katanya kepada Kosmo! Online.

Susulan itu, Kak KM turut memuji kecekapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan.

Hal ini kerana, mereka berjaya memberkas suspek kurang daripada 24 jam selepas barang berharganya ditemui.

Dalam pada itu, Kak KM memaklumkan yang dia turut bercadang untuk berpindah ke rumah lain kerana merasakan sudah tidak selamat untuk terus tinggal di kediamannya sekarang.

Menjadikan kejadian pecah rumah sebagai pengajaran, Kak KM menjelaskan, selepas ini dia tidak akan mudah mempercayai orang lain dan lebih meningkatkan kawalan keselamatan di kediamannya.

“Saya jadikan kejadian ini sebagai pengajaran supaya jangan percaya kepada sesiapa. Sebenarnya orang yang pecah masuk rumah saya ini, adalah pengikut saya sendiri yang tahu perkembangan saya melalui media sosial.

“Dia pernah minta alamat, konon-konon nak datang ke rumah untuk ambil produk. Pengajaran kedua, kena lebih tingkatkan keselamatan di rumah. Walaupun ada televisyen litar tertutup (CCTV), tapi penjenayah tetap boleh lakukan kegiatan jenayah mereka," katanya.

Pada 4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung satu kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul membabitkan kerugian berjumlah RM3.5 juta.

Empat suspek warga tempatan kemudiannya ditahan Bahagian D4, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 5 Mac lalu, sehingga membawa kepada penemuan sebahagian barangan mangsa di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.

Kesemua suspek yang berusia 22 hingga 36 tahun diserahkan kepada bahagian sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Kesemua suspek direman sembilan hari sejak 16 Mac lalu.

Sumber: Kosmo!

BERITA TRENDING:“Satu Malaysia Nak Tahu Keadaan Rania…” - Kak KM Syukur Pembedahan Jantung Anak Berjaya

BERITA TRENDING: Tahun Lepas Honda, Tahun Ini Kak KM Hadiahkan Gelang Buat Ibu – “Tak Perlu Sebut Harga…”