Skip to main content

Berita Tempatan

"Kalau Saya Ahli Politik, Saya Mati Awal Kot" - Tony Eusoff

tonyeusiff.jpg
Pelakon Tony Eusoff memberitahu bahawa dia tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang ahli politik.

Ini kerana Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 42, berkata, dia merupakan seorang yang tidak mampu dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan umum.

"Kalau saya ahli politik, saya mati awal kot sebab saya tertekan gara-gara tak boleh tidur malam.

"Lagipun, ahli politik memegang satu tanggungjawab yang besar. Saya tak boleh buat keputusan. Mungkin bagus untuk satu pihak, tetapi keputusan yang dibuat menjahanamkan pihak lain," katanya kepada Gempak.

Tony berkata demikian sewaktu sidang media prapelancaran filem Daulat yang diadakan di Plaza Equatorial, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam filem tersebut, Tony berkata dia memegang watak sebagai ahli politik bernama Hassan.

"Itu merupakan pengalaman pertama saya memegang watak sebagai ahli politik. Memang orang kata risiko agak tinggi kerana naskhah ini mempamerkan sisi gelap ahli politik.

"Bagaimanapun, saya anggap itu sebagai satu cabaran. Apa yang penting saya sudah mencuba dulu," katanya.

Begitupun, katanya, filem arahan Imran Sheikh itu tidak merujuk kepada mana-mana ahli politik di negara ini.

Kata Tony, filem berkenaan sudah selesai menjalani penggambaran dan dijangka ditayangkan pada awal tahun depan.

Antara pelakon lain yang membintangi karya berkenaan ialah, Rashidi Ishak, Jasmine Suraya, Vanidah Imran dan Cristina Suzanne.

Must-Watch Video

Advertisement