Penyanyi Datuk Norman Abdul Halim bersama Yayasan KRU sedang mencari usahawan dalam industri kreatif menerusi program Contentprenuer 2020.

Norman yang juga peneraju Yayasan KRU itu berkata menerusi Contentprenuer 2020, mereka akan membuka peluang terutama alumni institusi pengajian untuk mendapatkan dana atau pembiayaan modal permulaan bagi penciptaan harta intelek

“Contentpreneur 2020 merupakan inisiatif Yayasan KRU untuk menyediakan peluang perniagaan berkaitan industri kreatif bagi alumni institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Saya nak tekankan disini, kami bukan nak cari artis tapi usahawan dalam industri kreatif untuk buat production house sendiri sama ada untuk menerbitkan filem, rancangan bersiri atau dalam bidang muzik.

“Melalui pertandingan keusahawanan ini, pemenang akan mendapat pembiayaan modal permulaan bagi penciptaan harta intelek dan kemudiannya akan melalui proses “mentorship” oleh para profesional dan pelabur industri selama 4 bulan,” katanya kepada Astro Gempak.

Norman ditemui selepas pelancaran dan forum Contentpreneur 2020 anjuran Yayasan KRU di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pada Jumaat.

Menurut Norman dia mencari sekurang-kurang tiga usahawan kreatif dengan menyediakan dana penerbitan serta pengkomersilan produk sehingga RM50,000 setiap seorang.

“Sekiranya berjaya diperingkat “pitching” seterusnya, usahawan baru ini akan disediakan sehingga RM50,000.

“Dengan adanya program ini, pihak kami yakin para pelatih yang menyertai program “Up-Skilling” dan “Re-Skilling” dibawah tajaan kami akan mendapat peluang menjadi perantis dan kemudiannya ditawarkan bekerja di syarikat-syarikat pemenang dana “Contentpreneur” yang telah mendapat pembiayaan tersebut,” jelasnya lagi.

Program Contentprenuer 2020 itu bermula harini sehingga 31hb Oktober 2019 manakala sesi “pitching” pertama akan diadakan pada bulan November 2019 dan sesi “pitching” kedua pada bulan Mei 2020.