Atlet Bola Sepak Cacat Penglihatan yang juga pelakon Eye On The Ball (EOTB), Azwan Azhar berharap dengan pendedahan pasukannya dalam filem ini dapat memberikan mereka sebuah padang khas yang telah ditetapkan.

Bagi Azwan atau lebih mesra disapa Kenchot, 26, menerusi filem ini, harapan mereka agar tidak lagi perlu bersusah-payah mencari padang dan kemudahan sukan lain untuk atlet kelainan upaya berlatih.

“Kalau sebelum ni, kami sering berpindah-randah dan sangat susah untuk kami mencari padang bagi tujuan latihan. Saya dan pasukan berharap agar kami dapat satu padang yang dikhaskan untuk sukan bola sepak cacat penglihatan sahaja.

“Kami berlatih di merata padang sebelum ni seperti padang futsal di Bangsar, Brickfield, Jalan Semarak jadi berpindah-randah.

“Padang untuk orang cacat penglihatan ini memerlukan suasana yang tenang dan sunyi untuk kami mendengar bunyi loceng. Jadi kalau kami berlatih di padang biasa dengan suasana yang bising, susah untuk kami fokus,” jelas Kenchot kepada Gempak.

Kenchot merupakan seorang pemain senior yang berasal daripada sebuah kampung nelayan di selatan tanah air.

Sejak bapanya hilang di laut, dia menjadi pencari nafkah tunggal keluarganya dan terpaksa memilih antara menguruskan pusat refleksologi atau terus bermain bola sepak.

Dokumentari EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.