Bapa bayi malang Naufal Amsyar, Nabil Fikri akui reda apabila anaknya itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi semalam dan menerima takdir yang telah ditentukan untuknya dan isteri.

“Sebagai bapa, saya ralat dengan apa yang terjadi. Kalau disebabkan kecuaian, saya faham. Namun jika sebaliknya, saya minta keadilan untuk anak saya.

“Kami terima takdir ini dan hanya dapat bersama dengan Naufal Amsyar selama 10 bulan sahaja.

“Saya cuma hendak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Sekarang ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti hasil bedah siasat sekali gus mendapatkan punca apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya tidak mahu tuduh atau tuding jari kepada mana-mana pihak. Saya sedia beri kerjasama demi keadilan anak saya,” katanya.

Demikian merupakan luahan hati bapa bayi malang, Naufal Amsyar Nabil Fikri 10 bulan yang meninggal dunia hari ini selepas dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya di Taman Sialang, Tangkak Muar Johor.

Nabil Fikri Anwar, 28 tahun berkata, dia dan isteri kini memberi tumpuan kepada urusan pengkebumian Naufal Amsyar yang mengalami kecederaan parah di kepala termasuk lebam dahi kiri, pendarahan di mata serta tempurung kepala retak.


Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.

Naufal Amsyar dipercayai terjatuh dari buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.

Ekoran itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga pengasuh bayi terbabit kini direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Astro Awani