Bintang utama filem yang tercalon ke Oscars 2022 Prebet Sapu, Amerul Affendi menyarankan orang ramai agar berhenti menonton filem terbabit.

BACA: Prebet Sapu Tercalon Untuk Oscars 2022, Amerul Affendi; "Jauh Tu Kalau Nak Menang, Tapi Harapan Tu Ada"

BACA: Filem Prebet Sapu Lakonan Amerul Affendi, Mei Fen Lim Dihantar Bertanding Di Oscars 2022


Sebaliknya, gesa Amerul agar orang ramai terus menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir yang sedang menimpa negara ketika ini.

"Kawan! Berhenti dulu tonton #PrebetSapu. Kita bantu dulu jiran tetangga sanak saudara kita yang terjejas banjir.

"#BantuanBanjirDuluBaruPrebetSapu #PanggungBolehTunggu," ciapnya menerusi akaun Twitter pada Selasa.


Amerul turut menyeru pengendali akaun rasmi beberapa pawagam di Malaysia antaranya TGV Cinemas, GSC Cinemas dan LFS Cinemas untuk sama-sama bertindak bersamanya.

Malah, orang ramai juga menyeru pawagam tempatan agar melanjutkan tempoh tayangan filem tersebut memandangkan situasi semasa yang sedang meruncing.

"Lanjutkan tayangan. Lepas semua ni reda, mari kita tonton Prebet Sapu ramai-ramai," kata pemilik akaun @aliiabuuu.

Tambah pelayar media sosial lain pula; "Bro. Aku kalau jumpa kau aku nak terajang kau sebab kau steady sangat. Sumpah kau steady. Aku akan hasut semua member aku tengok Prebet Sapu lepas kitorang selesai bantu mangsa banjir."

Amerul antara individu yang aktif di media sosial mengulang ciap dan berkongsi perkembangan semasa beberapa lokasi di sekitar Pahang termasuk di Karak, Kuantan, Bentong dan Temerloh.

Dalam perkembangan sama, pengarah filem Prebet Sapu, Muzzamer meluahkan rasa syukur dengan sambutan yang diterima daripada orang ramai sejak filem itu ditayangkan pada 16 Disember lalu.

"Terima kasih kepada 8,000 penonton yang memilih Prebet Sapu. Dengan persaingan filem blockbuster dan situasi mencabar, jumlah ini ternyata memberi bayangan bahawa filem seperti ini juga mempunyai peminat," katanya.


Prebet Sapu dibintangi Amerul dan Mei Fen Lim serta dibantu oleh beberapa pelakon undangan hebat seperti Bront Palarae, Nam Ron, Sharifah Amani, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.