Laman Utama

Kelantan Akan Ada Pawagam? Syed Aiman Gembira Permohonan Disambut Baik - "Kerajaan Negeri Taklah Tegas ..."

gempak
Asyikin Mayudin
31/10/2022
09:55 MYT
Sponsor Banner
Kelantan Akan Ada Pawagam? Syed Aiman Gembira Permohonan Disambut Baik - "Kerajaan Negeri Taklah Tegas ..."
Pelakon Syed Aiman Syed Mahmud berharap kerajaan Kelantan menimbang cadangan agar membenarkan pawagam patuh syariah beroperasi di negeri tersebut.
Mewakili penggiat seni tanah air, Syed Aiman yang juga ‘orang kuat’ urus setia itu berkata, kerajaan negeri wajar mendengar permintaan penggiat seni yang mahukan pawagam beroperasi di Kelantan.
“Semua orang tahu di Kelantan, tak ada panggung wayang. Kalau rakyat Kelantan nak tengok wayang, kena pergi Terengganu tapi dengan adanya sesi dialog bersama EXCO kerajaan negeri, mungkin kita boleh dapat jawapan dalam usaha mewujudkan panggung wayang itu.
“Sebenarnya, panggung wayang itu di mana-mana pun boleh buat. Tapi di Kelantan, ada syarat yang perlu dipatuhi. Kita pernah dengar dahulu nak bina panggung wayang di Kelantan, boleh, tapi tempat duduk perempuan dan lelaki diasingkan.
“Selain itu, pada waktu Maghrib tiada tayangan filem. Syarat seperti itu, bagi saya mudah, kita boleh ikut,” kata Syed Aiman kepada Gempak.
Permohonan itu dikemukakan kepada kerajaan Kelantan oleh urus setia majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Putrajaya, Jumaat lalu, melalui sesi dialog, baru-baru ini.
Sebelum ini, Panggung Lido di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu menjadi pawagam terakhir beroperasi di Kelantan sehingga 1996, sebelum dirobohkan setahun kemudian.
Berikutan itu, hampir 25 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang dan rakyat negeri itu perlu pergi ke Terengganu untuk menonton filem di pawagam.
Sementara itu, suami kepada pelakon dan penyanyi Linda Rafar ini meluahkan rasa gembira apabila permohonan tersebut mendapat reaksi positif daripada pihak kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri tidaklah tegas menolak. Disebabkan itu, ada sesi dialog yang membincangkan mengenai kehendak penggiat seni. Setakat ini, ada nampak sinar.
“Alhamdulillah, kerajaan sudah ambil maklum perkara ini. Dengan kebijaksanaan kerajaan negeri, saya percaya mereka akan mengusahakannya.
“Kami cuba memohon (agar pawagam dibuka di Kelantan), namun, keputusan dan kelulusan di tangan mereka,” ujarnya lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024