Selepas 10 tahun direhatkan, program popular kanak-kanak #TomTomBak bakal menemui penonton pada 6 september depan.

Pengacara tersohor Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil terus diberi kepercayaan sebagai pengemudi utama program ‘legend’ ini.

Pak Nil ketika ditemui Gempak berkata, beliau tidak menyangka program tersebut akan kembali menemui anak-anak generasi millennial.

“Saya ingat rancangan ini akan jadi sejarah. Pada awal dulu ketika kami terbitkan program seperti Macam-Macam Aznil atau Tom Tom Bak, kami tak pernah terfikir yang program itu akan hanya diterbitkan untuk zaman itu sahaja.

“Yang sebenarnya Tom Tom Bak sangat kuat dan sudah menjadi satu branding untuk kanak-kanak di Malaysia.

“Apabila mereka beritahu sudah lama tidak ada program seperti Tom Tom Bak dan ingin mengembalikannya, ini adalah satu penghormatan,” katanya.

Tambah Aznil lagi, tidak ada salahnya ibu bapa yang dulu merupakan penonton generasi pertama Tom Tom Bak memperkenalkan pula rancangan ini kepada anak-anak mereka sekarang.

“Remaja atau ibu bapa sekarang kalau kita tanya pasal Tom Tom Bak mestilah mereka tahu kerana progam ini diterbitkan ketika mereka masih anak-anak.

“Jadi beritahulah kepada anak-anak anda sekarang (kepada mereka yang sudah mempunyai anak) yang program ini memang istimewa untuk mereka, yang tulus untuk anak-anak menyanyi, menari, berborak dan bersinar,” katanya.

Pak Nil ditemui ketika majlis sidang media #TomTomBak di The Love @ Matic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.