Laman Utama
Kerajaan Umum Kembalikan PLKN, Tapi Dengan Plot Twist…
Kerajaan bersetuju meneruskan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan pada 2018 dengan menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelum ini.
Pelatih-pelatih yang terlibat menerusi PLKN pada kali ini bakal menjalani latihan di kem tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan bagi latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.
Advertisement
"Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.
"Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan template baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.
"Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan," katanya ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
PLKN diperkenalkan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara sebelum memulakan program itu pada 2004.
Ia kemudian ditangguhkan pada 2015 dan diperkenalkan semula setahun kemudian dengan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019. Bagaimanapun, program itu dimansuhkan pada 2018.
Memetik laporan Beritah Harian, Mohamad ketika sidang media menjelaskan, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform.
"Selepas itu, mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.
"Itu sebab dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang," katanya.
Mengenai kos pelaksanaan PLKN 3.0, beliau berkata ia dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini.
Beliau turut memaklumkan penggunaan kem tentera dan PULAPOL dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ia juga membolehkan mereka mendapatkan situasi sebenar ketenteraan dan kepolisan.
"Dalam 45 hari latihan ini, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan.
"Disiplin penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda," katanya.
Mohamad berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.
"Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.
"Mereka yang sudah masuk IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan khidmat jurulatih dari veteran tentera juga dialu-alukan.
Sumber: Berita Harian
Foto: Utusan Malaysia
Must-Watch Video