Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menerusi sidang media khas pagi tadi (Ahad) mengumumkan semua sekolah termasuk kolej vokasional seluruh negara ditutup bermula esok, sehingga hari akhir persekolahan pada tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikutan peningkatan kes Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KPM turut menutup semua sekolah di Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak mulai 9 November hingga 17 Disember.

Sementara itu bagi sekolah Kumpulan A, sesi persekolahan akan ditutup sehingga 17 Disember dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B.

Tambah Radzi lagi, tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah dipinda dan akan bermula 22 Februari tahun depan manakala peperiksaan STPM akan bermula 8 Mac 2021.

Perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Katanya, langkah itu diambil bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

"Penggal persekolahan bagi tahun 2021, akan bermula pada 20 Januari dan murid sekolah rendah akan memulakan sesi pembelajaran pada tarikh itu.

"Manakala bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional juga akan memulakan pengajian pada tarikh yang sama," katanya.

Sesi pengajaran dan pembelajaran sepanjang penutupan sekolah akan dilaksanakan secara home based learning dan pelajar di asrama perlu dibawa pulang ibu bapa, katanya.