Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Keputusan itu dibacakan Hakim Izralizam Sanusi selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Siti Bainun membela diri pada 5,6,7,8 dan 9 Disember depan.

Menurut laporan Harian Metro, Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 9.15 pagi, dengan memakai baju kurung berwarna hitam dan tudung merah jambu.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Peguam-peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Hadir sama, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam, Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA: Kes Bella: Tiada Kerosakan Mesin Air Penapis Air Milik Siti Bainun Dilaporkan, Cuma… - Saksi

BACA: Saksi Nafi Bella Jadi Mangsa Amang Seksual Sebelum Dijaga Siti Bainun

BACA: Kes Siti Bainun: Pegawai Polis Buat Analisis Telefon Bimbit Papar Gambar & Video Bella

Sumber – Harian Metro