Penyampai radio terkenal, DJ Lin akui lebih gemar meluangkan masa bersama anak-anak dan menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding memikirkan soal mencari pengganti pasangan hidup.

Lin akui, sebagai seorang wanita, terkadang muncul perasaan ingin mempunyai teman hidup, namun perkara itu bukanlah menjadi keutamaan hidupnya ketika ini.

"Saya sudah bergelar ibu tunggal selama 14 tahun, jadi saya lebih selesa untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding memikirkan soal mengenali seseorang lelaki sebagai pasangan hidup.

"Boleh dikatakan, kehidupan saya bersama anak-anak diikuti komitmen kerja telah mengambil 80 peratus daripada ruang masa kehidupan saya.

"Namun sebagai wanita, kadang-kadang muncul perasaan ingin berteman atau berkasih sayang, itu satu perkara normal, namun bagi saya, perkara itu bukanlah keutamaan saya ketika ini," katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, Lin turut berkongsi pandangannya secara umum mengenai masa yang sesuai untuk seseorang ibu tunggal kembali mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati.

"Kadang-kadang, ada perempuan yang tak dapat terima dan susah menyesuaikan diri selepas berrcerai, mereka sudah biasa mempunyai teman hidup sebelum itu.

"Apa yang penting, kepada ibu tunggal di luar sana, jangan terdesak dalam memlih pengganti pasangan hidup dan jangan rasa gelaran ibu tunggal itu satu perkara negatif dalam masyarakat.

"Kenali sebetulnya lelaki itu, ketahui latar belakangnya, kena tahu dia kerja apa, bagaimana pula keluarganya, itu semua penting, jangan terlalu ikutkan hati yang sunyi," katanya.

Selain itu, Lin juga berpendapat, seseorang ibu tunggal harus mencari lelaki yang turut menerima anaknya.

"Carilah suami yang bukan sekadar menerima diri kita, mereka juga harus menerima anak-anak kita, jangan sampai disebabkan lelaki, kasih sayang antara ibu dan anak terganggu," katanya lagi.

Bercakap mengenai keperluan memberitahu dan berbincang dengan anak mengenai hasrat mengenali lelaki baru dalam hidup, Lin juga merasakan perkara itu amat perlu dilakukan.

"Jika seseorang ibu tunggal itu mahu mengenali lelaki baru atau mahu keluar 'dating', eloklah sebelum itu jika dia memberitahu anaknya dahulu. Jika anak itu sudah dalam fasa umur yang memahami, misalnya tujuh tahun keatas, kita boleh beri 'hint' atau tunjuk dahulu gambar lelaku yang dimaksudkan.

"Mereka harus diberi penenarangan dengan sebaiknya, jangan pernah membelakangkan anak-anak dalam hal ini, kalau kita terangkan betul-betul, mereka pasti akan faham.

"Kemudian, bolehlah aturkan beberapa pertemuan yang melibatkan anak kita dan lelaki itu, dari situ kita boleg lihat bagaimana cara dia melayan anak kita, kadang-kadang, dari raut wajah pun kita sudah tahu apa yang dirasakan seseorang," katanya.

Sementara itu, Lin juga berkongsi pandangan mengenai perihal umur bagi seseorang ibu tunggal kembali mendirikan rumah tangga.

"Bagi saya, bab umur sebenarnya tiada masalah kerana usia tak jadi penghalang jika satu pasangan itu saling mencintai.

"Allah SWT sudah tetapkan jodoh untuk kita, selera atau pilihan kita juga lain-lain, ada yang suka lelaki lebih berusia, dan ada juga yang lebih selesa mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih muda, itu semua bergantung kepada pilihan," tuturnya menutup bicara.

Imbas kembali, Lin bercerai pada tahun 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata , Nuren Aresya dan Nazren Asyran.