Laman Utama
“Ketika Usia 2 Tahun Doktor Sahkan Dia…”- Ahmad Idham Bangga Anak Istimewa Dah Boleh Berjalan!
Pelakon dan pengarah, Ahmad Idham bersyukur apabila anak istimewanya Ahmad Firdaus, 21, kini sudah boleh berjalan meskipun memerlukan alat sokongan.
Kata Idham ia membuktikan tiada perkara yang mustahil yang boleh dicapai kerana anak sulungnya itu telah disahkan mengalami focal encephalitis ketika kecil sehingga menyebabkan kesukaran untuk berjalan dan bertutur.
“Antara aktiviti hujung minggu, bawa Abang (Ahmad Firdaus) jalan-jalan untuk latihan kuatkan kaki Abang.
“Walaupun kadang-kadang ada benda kita rasa mustahil untuk kita capai, namun tidak pernah ada yang mustahil selagi Allah izinkan ianya untuk berlaku.
“Abang, ketika usia 2 tahun doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.
“Namun, hari ini abang dah boleh berjalan walaupun memerlukan alat sokongan, tapi abang tetap berjaya lakukannya,” katanya.
Idham berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri berkenaan dia memuat naik video yang disunting ketika melakukan aktiviti beriadah dan bercuti bersama keluarganya.
Menurut Idham yang juga menubuhkan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus itu dia berbangga dengan anaknya serta berharap agar lebih ramai anak istimewa menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
“Daddy bangga dengan abang!
“Semoga lebih ramai anak-anak istimewa mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain,” beritahunya.
Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.
Must-Watch Video