Hiburan
Kilafairy Tolak Tawaran Berlakon Di Hospital, Masih Trauma Dengan Pemergiaan Arwah Ibu - “Saya Rasa Perasaan Ini Akan Ada…”
Sudah lebih setahun ibunya yang juga penyanyi, Allahyarham Rohana Jalil meninggal dunia, namun pelakon dan penyanyi Kilafairy, 30, mengakui masih belum mampu mengendalikan trauma kehilangan dengan baik.
Masih Trauma Kehilangan
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan mendedahkan disebabkan trauma itu dia terpaksa menolak tawaran berlakon sebuah drama bersiri yang memerlukan dia menjalani penggambaran di hospital.
“Dari segi lakonan saya tak mula apa-apa lagi sebab tawaran terakhir yang saya dapat, 90 peratus ‘shoot’ di hospital. Jadi saya belum bersedia untuk itu sebab saya meluangkan masa tiga bulan menjaga mama di hospital sebelum ini.
“Saya hanya mahu elakkan perasaan itu datang balik. Saya tanya pasukan produksi, lokasi ‘shooting’ kita di mana, dan mereka beritahu 90 peratus di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: “Mama Pergi Seolah-Olah Sedang Tersenyum” - Kilafairy
ARTIKEL BERKAITAN: "Mohon Doakan Arwah Mama" - Kilafairy
“Banyak sangat itu saya rasa, kalau setakat lima atau enam ‘scene’, saya okay. Jadi kalau nak ‘shoot’ setiap hari di hospital, saya masih tak boleh, disebabkan itu saya masih menunggu tawaran yang sesuai.
“Saya rasa perasaan ini akan ada selama-selamanya cuma kita kuat atau tidak,” katanya kepada Gempak yang hadir memberi sokongan di majlis pembukaan kedai pertama Nunha Store di MyTown, baru-baru ini.
Tak Berniat Menolak
Dalam pada itu, Kilafairy menjelaskan dia bukanlah berniat untuk menolak tawaran sebaliknya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan ibunya.
“Kalau nak buat ‘scene’ ibu meninggal dunia, saya tidak kisah sebab perasaan saya ketika menjayakan babak itu mungkin nampak natural, jadi saya tak kisah tapi kalau lokasi seperti hospital, susah sikit bagi saya.
“Saya tidaklah meletakkan banyak syarat untuk lakonan, saya percaya mereka yang menawarkan tawaran pada saya akan faham dan ramai yang boleh bertolak ansur.
“Tak tahu kenapa tawaran menjayakan drama di hospital yang diberikan kepada saya agak banyak juga. Sebelum ini saya boleh saja buat tapi disebabkan mama pergi, ia masih segar lagi di ingatan saya.
“Ini pun kali pertama saya tolak tawaran menjayakan drama yang 90 peratus ‘shoot’ di hospital,” katanya yang juga akan tampil dengan perniagaan yang dikatakan berkaitan ibunya.
Terdahulu Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil yang ketika itu berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun tahun lalu akibat kebocoran pada usus perut.
ARTIKEL BERKAITAN: "Istiqamah Tak Mudah, Setiap Hari Bergelut Dalam Diri" - 2 Tahun Bertudung, Kilafairy Dilamar Jadi Muse MINAZ Hijab
Must-Watch Video