Filem seram thriller Penunggang Agama terbitan Astro Shaw dan Skop Productions kembali dengan sekuel bermula 19 Oktober ini.

Jika dibandingkan filem pertama dengan Penunggang Agama 2, sekuel kali ini lebih terang dan bersuluh dalam menghuraikan definisi ‘penunggang agama.’

Filem sekuel ini masih mengekalkan teraju utamanya iaitu pelakon popular tanah air, Zul Ariffin sebagai Amir, bersama pelakon, penyanyi dan juga pengacara Azira Shafinaz sebagai Anna.

Turut diperkenalkan watak baru Father Michael, seorang paderi yang digerakkan oleh pelakon hebat Tony Eusoff.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, melihat daripada reaksi penonton, pihaknya tidak teragak-agak untuk menerbitkan sekuel Penunggang Agama.

“Memandangkan filem pertamanya masih ‘fresh’, kami cuba mengekalkan momentum terbaik ini dengan membawa terus kepada penonton walaupun filem pertama ditayangkan tujuh bulan lalu.

“Menariknya kali ini, banyak perkara dikupas dan terjawab daripada filem pertamanya. Malah menerusi karakter dan watak baru yang diperkenalkan, turut membuka mata penonton untuk menghormati dan menghargai antara satu sama lain, meskipun berbeza pendapat dan kepercayaan,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Bagi pengarah Penunggang Agama 2, Syafiq Yusof pula, ini merupakan filem keduanya yang ditayangkan di platform Astro First.

“Tentunya filem ini memberi cabaran baru buat saya untuk lebih memahami gaya tontonan dan cita rasa penonton sasaran.

“Bagi Penunggang Agama 2, saya cuba memberikan persembahan terbaik dan lebih mengujakan. Buat penonton yang tidak berkesempatan menyaksikan filem prekuelnya, mereka masih boleh mengikuti jalan cerita sekuelnya kerana konflik adalah berbeza serta baru,” jelasnya.

Menjalani sesi penggambaran di Cameron Highlands, filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Dato’ Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Puteri Nurqaseh (Sarah), Burhan Sidqi (Bakhtiar) dan Sharifah Aisyarha (Anim).

Penunggang Agama 2 mengisahkan rentetan Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama.


Sementara itu, Amir mula obses dengan kerja sampingannya, iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima.

Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran Ustaz.

Kehadiran seorang paderi bernama Father Michael telah mencabar ego dan kredibiliti Amir.

Saksikan filem Penunggang Agama 2 yang akan berada di Astro First bermula 19 Oktober 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut di Astro First secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90.