Tiada apa yang dapat diungkapkan selepas menonton Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers – Transcendence yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam, malam Sabtu lalu.

Persembahan hebat Butterfingers yang dianggotai Emmet (vokalis), Loque (pemain gitar), Loko (pemain dram) dan Kadak (pemain bass) akan menjadi memori indah buat peminat atau lebih mesra dipanggil 'Royal Butters'.

Awal-awal lagi peminat Grunge (semestinya) tidak menyangka sambutan luar biasa diberikan terhadap konsert sempena sambutan ulang tahun 20 tahun album ketiga kumpulan itu.

Stadium Melawati dibanjiri 8,500 peminat yang sudah mula beratur seawal jam 6 petang, malah ada yang berada di sana lebih awal untuk mendapatkan ‘merchandise’ Butterfingers!

Belum apa-apa lagi dah nampak kehebatan mereka apabila diberitahu ‘merchandise’ habis terjual seawal jam 4 petang.

Mengulas mengenai persembahan mereka pada malam itu bermula dengan persembahan pembukaan dan lagu Chemistry, sudah membuatkan penonton bersorak dan ikut sama menyanyi.

Diikuti dengan lagu-lagu seperti Epitome, Meltdown, Mermaid, Doomsday, Faculty Of The Mind, Weird, Girl Friday, Fire is a Curse dan Stolen, yang membawa peminat kembali ke zaman kemuncak Butterfingers di era 90an.

Konsert semakin hangat apabila peminat di zon berdiri mula menari dan melakukan aksi ‘moshpit’ di hadapan pentas.

Persembahan turut diselang-selikan dengan video komentar daripada kenalan rapat Butterfingers yang terdiri daripada orang-orang dalam industri.

Bagaimanapun keterujaan peminat terhenti seketika apabila Kadak terpaksa menghentikan persembahannya kerana mengalami sesak nafas di belakang pentas.

Tidak terhenti di situ, persembahan diteruskan tetapi hanya secara akustik daripada Loque, Loco dan Emmet tanpa petikan gitar bass.

Sungguhpun berlaku sedikit ‘masalah’ namun ia tidak mencacatkan persembahan Butterfingers, malah peminat tetap puas!

Cuma mungkin insiden seperti ini boleh dijadikan pengajaran kepada artis lain pada masa akan datang supaya bersedia dengan ‘plan B’.

Ya, mungkin jika disediakan sessionist sebagai ‘back-up’ mungkin momentum konsert tidak akan tersentak.

Tapi, yeah! Butterfingers tetap berjaya mencipta memori indah buat peminat-peminat mereka sepanjang tiga jam konsert berlangsung.

Foto: Shafiq Shahar