HIBURAN
Lagu ‘Rezeki’ Kemunculan Semula Elizabeth Tan Dalam Dunia Muzik, Lirik Bermakna Dalam Kehidupan Peribadi
Penyanyi dan pelakon terkenal, Elizabeth Tan, atau lebih dikenali sebagai Lizzy, sudah melancarkan single terbarunya berjudul ‘Rezeki’ pada Jumaat.
Lebih berani & matang
Lagu itu bukan sekadar kemunculan semula Lizzy dalam dunia muzik, tetapi ia juga memperlihatkan sisi baru yang lebih berani dan matang.
Lagu ‘Rezeki’ menyajikan pendengar dengan alunan muzik yang penuh dengan kekuatan dan keberanian, seiring dengan visual muzik yang penuh dengan elemen tarian dan adegan pertarungan.
Mengambil tempat di sebuah gudang yang usang sebagai latar belakang, video muzik ini memberi suasana yang penuh intensiti. Ia adalah gambaran visual yang sangat serasi dengan tema yang terkandung dalam lagu ini.
Rezeki mencerminkan suatu aura yang memukau, seakan memberi amaran kepada dunia.
Dengan lirik yang mendalam, lagu ini membawa mesej bahawa setiap individu harus menghargai setiap langkah perjalanan hidup mereka dan berani untuk menempuh setiap ujian yang datang.
Sebagai salah seorang penulis lirik untuk lagu, Lizzy sendiri merasakan kedalaman makna perkataan rezeki dalam kehidupan peribadinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan Jarak Jauh Jadi Cabaran, Elizabeth Tan Masih Usaha Dapatkan Zuriat - “Bagi Saya Ia Tidak Romantik Sebab…”
Ia menggambarkan perjalanan hidupnya yang penuh cabaran dan pengorbanan, namun tetap teguh dan bersyukur atas segala apa yang dicapainya dalam industri hiburan Malaysia, baik sebagai pelakon mahupun penyanyi.
Tidak ketinggalan, video muzik yang turut mencuri perhatian ini diarahkan oleh Aaron, dengan pembantu pengarah Park, serta diterbitkan oleh Peanut dan arahan kreatif oleh Coffee.
Manakala lagu ‘Rezeki’ adalah hasil kerjasama sebuah pasukan yang sangat berbakat.
Dihasilkan oleh Chris M. Yong yang juga mengambil peranan dalam pengaturan dan jurutera rakaman, bersama dengan SYA & Lizzy yang menulis lirik lagu ini.
Untuk penggubahan lagu, SYA & Chris M. Yong berganding bahu mencipta komposisi yang menyentuh hati.
Dengan ‘Rezeki’, Lizzy menyambut ulang tahun ke-10 dalam industri hiburan Malaysia.
Must-Watch Video