Penyanyi, Ziana Zain meluahkan rasa kesal terhadap sebuah blog yang didakwa memutarbelitkan kenyataan mengenai bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 58.

Menurut Ziana, disebabkan penulisan blogger yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan keluarga, sahabat dan juga peminat.

“Lain yang saya cakap lain yang ditulis. Siap ada yang ucap tahniah pada saya. Bayangkan seawal jam 7:30 pagi terima mesej dari keluarga dan rakan-rakan yang bertanyakan sama ada betul atau tidak saya sudah berbaik dengan bekas suami.

“Saya tak suka marah, tetapi laporan tidak benar ini membuatkan saya kecewa dengan sikap blogger seperti ini.

“Janganlah putar belit cerita sampai buat orang lain pun keliru,” ujarnyaz

Ziana berkata demikian dalam sidang media konsert Raya Sepanjang Zaman bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Menara Berkembar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ziana juga turut menyatakan tindakan blogger itu boleh menyebabkan gangguan emosi terhadap keluarga.

"Kita dalam bulan puasa. Bila keluar cerita seperti ini, ada yang menyokong dan ada juga yang mengecam.

"Jangan tulis apa yang saya tidak cerita. Sebab saya ada anak-anak, nanti kalau mereka tanya, saya nak jawab apa?

“Apa yang saya boleh kongsikan, saya sangat gembira dengan kehidupan sekarang. Alhamdulillah,” tegasnya.

Terdahulu, Ziana pernah memaklumkan tidak menyimpan dendam atau marah terhadap bekas suami selepas lima tahun kemelut rumah tangga berlalu.

Bagaimanapun kenyataan tersebut telah diputar belit blogger sehingga menimbulkan salah faham bahawa dia sudah berbaik semula dengan Armin.

Untuk info, konflik rumah tangga Ziana dan Armin tercetus pada Mac 2018 selepas timbul dakwaan bekas suaminya itu mendera anak lelakinya.

Disebabkan perkara itu, Ziana telah membuat laporan polis dan bertindak memfailkan perceraian.