Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan sudah dibuka terhadap selebriti yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri.

Baru-baru ini foto selebriti tersebut yang juga pelakon tular di media sosial dan mengundang keramarahan ramai.

Tambahan lagi mereka dikatakan tidak tinggal sebumbung.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung.

“Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti berkenaan yang terletak di Hulu Kelang,” katanya dalam menerusi sebuah kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohamad Farouk, terdapat kira-kira 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

“Majlis berkenaan dijalankan tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu aktiviti ziarah hari raya.

“Aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dan susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata, siasatan kejadian itu dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kes itu masih dalam siasatan dan pihak polis akan memanggil semua yang terbabit untuk memberikan keterangan.

“Untuk makluman, sebanyak 599 kompuan dikeluarkan dan 16 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP di daerah ini bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Kami menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya seperti yang dilaporkan Utusan Online.