Pelakon dan model jelita Amelia Henderson telah menerima anugerah Asia Model Awards bagi kategori Model Asia di Seoul, Korea pada bulan lalu.

Kejayaan itu sekali gus telah membuka mata dunia tentang individu kelahiran Malaysia berbakat.

Malah. ia turut memberi peluang buat Amelia untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.

Menjelaskan perkara berkenaan, Amelia berkata dia tidak menolak sekiranya ada rezeki dan peluang untuk dia mengorak langkah ke arah tersebut sama ada dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan.

Namun begitu menurut Amelia, dia juga mahu berpijak di bumi yang nyata.

"Kalau boleh saya mahu memperkukuhkan nama di negara kelahiran, Malaysia.

“Buat masa ini kita tengok dahulu macam mana sebab nak bina nama di luar negara bukan mudah," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem J Retribusi di Johor Bahru, baru-baru ini.

Tambah Amelia lagi, dia juga perlu bijak untuk memilih tawaran supanya lebih bersesuaian.

"Paling penting saya perlulah bijak memilih tawaran. Misalnya, jika pasaran Asia luas seperti Filipina dan Indonesia, bukan semua sesuai untuk kita.

"Apapun saya mahu membina nama yang kukuh di dalam negara dahulu sebelum meluaskan jenama ke pasaran antarabangsa,” katanya.